suria

Alami sakit mata kronik, Suhaimi Saad tidak menolak terkena gangguan sihir

Suhaimi memerlukan pertolongan isterinya, Ina Naim untuk bergerak berikutan masalah penglihatan.

MENGALAMI sakit mata kronik sejak setahun lalu, bekas penyanyi nasyid kumpulan InTeam iaitu Suhaimi Saad tidak menolak terkena gangguan sihir.

Akui Suhaimi, dia juga sudah merujuk ustaz dan rawatan Islam berhubung perkara berkenaan dan mempercayai kesakitan dialaminya itu mempunyai kaitan dengan buatan orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu buang ubat, kini tak hantar anak ke sekolah, Suhaimi Saad kata,"Pergi sekolah, tak semestinya pandai"

Suhaimi menerusi siaran langsung di Instagram pada Jumaat enggan mengulas mengenai kaedah rawatan yang dilakukan bagi menyembuhkan sakit matanya.



Suhaimi berkongsi perkara itu ketika sesi IG Live pada Jumaat.

"Kalau berjumpa doktor, mereka akan membuat imbasan berdasarkan fakta saintifik. Apabila saya merujuk ustaz dan perawat, memang ada kemungkinan berkaitan dengan unsur-unsur itu.

"Saya percaya dengan ilmu sihir dan santau tapi saya juga berikhtiar secara rawatan fizikal dan rohani. Saya juga percaya pada ubat-ubatan," katanya.

"Cara tradisional itu biarlah rahsia. Saya tiada komen sebab tahu ramai haters yang akan mengecam kalau salah jawab," kata Suhaimi.

Sesi IG Live itu turut dihujani dengan pelbagai pertanyaan dari pengikutnya selain mendoakan kesejahteraan penyanyi berusia 40 tahun itu.

Saya tak mengata orang dan tak berfikiran negatif.

SUHAIMI SAAD

PENYANYI

Pada Khamis, Suhaimi memberitahu dia memerlukan bantuan isterinya, Ina Naim dalam urusan harian ekoran masalah kesihatan yang menyebabkan matanya rabun.

Dalam pada itu, Suhaimi menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap pendedahan tentang penyakitnya sekadar untuk menagih simpati.

Suhaimi berkata, sakit mata yang dialami itu adalah satu cara Allah untuk membataskan penglihatannya supaya tidak berbuat dosa dengan melihat perkara tidak elok.

"Ada kata saya nak tagih simpati, tidak, itu semua bohong. Ya, memang betul mata saya masih nampak, saya masih boleh membaca cuma ia terhad.



Suhaimi bersama isteri dan anak-anak.

"Mata saya tiada katarak dan tiada selaput. Mungkin masalah dalaman. Allah nak bataskan penglihatan supaya saya tidak berbuat dosa mata dan tengok benda-benda tak elok.

"Saya reda kalau disembuhkan atau tidak sebab saya sudah terbiasa dengan keadaan ini. Banyak hikmahnya apabila mata saya tak nampak.

"Saya tak mengata orang dan tak berfikiran negatif. Tapi saya nak berubat sebab saya fikirkan tanggungjawab.

"Apabila mata kabur, saya susahkan Ina untuk memandu ke sana ke sini buat kerja. Saya nak membaca sekarang pun terpaksa minta tolong anak-anak," ujarnya.

Sebelum ini, Suhaimi pernah mendapatkan konsultasi untuk rawatan lasik namun terpaksa menangguhkan hasratnya ekoran kos rawatan mencecah RM8,000 hingga RM12,000.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain