suria

Pengikut Instagram naik 300,000, Wafariena reda 'Nurul Ain' lagi popular - “Alhamdulillah ramai yang mula nampak bakat saya”

Impak drama 7 Hari Mencintaiku 2, nama Wafariena terus dipanggil dengan nama Nurul Ain.

MERAIH populariti menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2, pelakon baharu Wafariena Roslan berkata nama watak Nurul Ain sudah sebati dengannya sehingga menjadi panggilan peminat.

Meskipun drama itu sudah berakhir kira-kira dua bulan lalu, Wafariena, 25, berkata sehingga kini masih ramai yang memanggilnya dengan nama itu.

"Drama itu memang memberi kesan terhadap karier lakonan saya dan sampai sekarang orang panggil saya Nurul Ain, dekat luar pun orang panggil nama itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wafariena mahu dikenali sebagai penyanyi, cuba nasib bertanding dalam 'Vokal Mania' - “Saya dah ada dua single sebelum ini”

"Ada satu kejadian baru-baru ini, seorang makcik tanya saya, saya ini perampas ke? Jadi saya kena terangkan semula beritahu itu lakonan sahaja, dekat luar saya bukan Nurul Ain tetapi Wafariena.

"Tapi sejujurnya saya tak kisah pun orang panggil dengan nama itu kerana memang mereka kenal saya daripada watak berkenaan. Tak adalah sampai nak marah, saya okay sahaja!" katanya kepada mStar.



Ramai orang masih memanggil Wafariena sebagai Nurul Ain.

Wafariena ditemui semasa sesi pengenalan drama Baby Tak Gila yang diadakan di pejabat urusan Pencil Pictures dan Records di Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu, watak Nurul Ain diwujudkan sebagai perosak rumah tangga Mia, lakonan Siti Saleha dan Khuzairi (Shukri Yahaya).

Saya lebih selesa abaikan sahaja, bukan sombong tapi memang sejak dulu bukan perangai saya nak berlawan di media sosial!

WAFARIENA

PELAKON & PENYANYI

Menyedari kehidupan sebagai selebriti tidak boleh lari daripada kecaman netizen, Wafariena berkata dia lebih selesa mengabaikan sebarang bentuk komen negatif yang ditulis di media sosial miliknya.

"Gara-gara drama itu, pengikut di Instagram naik lebih 300,000. Alhamdulillah ramai yang mula nampak bakat saya... kebanyakan yang follow itu orang yang kecam saya kerana watak Nurul Ain!

"Tapi saya tak kisah pun mereka nak kecam atau apa... saya anggap mereka adalah penyokong saya kerana ini membuktikan watak yang saya bawa itu berjaya.



Selain berlakon, Wafariena juga merupakan seorang penyanyi.

"Kalau yang kecam kerana hal peribadi sekalipun saya tak balas atau jawab, saya lebih selesa abaikan sahaja. Bukan bermaksud sombong tapi memang sejak dulu bukan perangai saya nak berlawan di media sosial," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wafariena merupakan salah seorang daripada 24 penyanyi amatur yang mengambil bahagian dalam rancangan Vokal Mania yang bersiaran setiap 9 malam, Sabtu.

Sebelum dikenali menerusi watak Nurul dalam drama tersebut, Wafariena sebenarnya mempunyai single berjudul Nafas Cinta dan Carilah Aku.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain