suria

Impian Nursyafiq bawa lagu tradisional di pentas Vokal Mania tercapai - “Saya nak naikkan semula lagu-lagu seperti itu”

Persembahan Syafiq menyanyikan lagu Nirmala mendapat pujian penonton.

JIKA sebelum ini peserta rookie dalam program Vokal Mania iaitu Nuha Bahrin dan Aufahanie dikecam disebabkan nyanyian sumbang, berbeza pula dengan penyanyi baharu Nursyafiq Naser yang menerima pujian.

Rata-rata penonton yang menyaksikan program pada malam, Sabtu lalu itu menganggap persembahan Syafiq menyanyikan lagu Nirmala boleh dibanggakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa pertahan nyanyian Nuha Bahrin, anggap kesilapan perkara biasa - “Tidaklah teruk sangat... netizen yang komen pun tak tahu muzik!”

Menurut Syafiq, 25, dia berpuas hati dengan persembahan itu dan bersyukur impiannya untuk mengembalikan semula muzik tradisional di pentas nyanyian tercapai.



Nursyafiq gembira impian dia menyanyikan lagu tradisional di pentas besar tercapai.

"Rasa-rasanya bukan 100 peratus dipuji... ada saja kecaman tapi tak nampak sangat. Apa-apa pun, saya bersyukur sangat dapat lakukan yang terbaik pada malam itu.

"Saya puas hati dengan persembahan itu kerana memang tujuan utama saya untuk naikkan semula muzik tradisional di pentas besar. Kiranya achievement unlock la.

"Orang pun dah nampak yang ada saja anak muda yang masih ambil berat tentang muzik tradisional walaupun saya akui Nirmala bukan lagu yang mudah," katanya kepada mStar.

Biarpun menerima pujian, Syafiq meluahkan rasa sedih apabila rakannya Aufahanie yang turut bertanding pada malam itu menerima kecaman netizen.

Saya ada beri kekuatan kepada dia dan meminta dia abaikan saja komen negatif itu.

NURSYAFIQ NASER

PENYANYI

Pemilik nama Muhamad Nursyafiq Mohammad Nasir ini berharap Aufahanie yang juga di bawah syarikat pengurusan sama dengannya tidak patah semangat.

"Sebagai rakan dalam satu syarikat pengurusan yang sama, sudah tentu saya berikan kata-kata semangat kepada Aufa dan pertahankan dia.



Nyanyian Aufahanie di pentas Vokal Mania pada Sabtu lalu dikatakan sumbang.

"Saya nampak segala proses dia bekerja keras untuk sampaikan lagu itu dengan baik. Masa sesi latihan, nampak dia bekerja keras dan dapat nyanyi dengan baik.

"Cuma pada malam itu, dia ada melakukan sedikit kesilapan. Saya ada beri kekuatan kepada dia dan meminta dia abaikan saja komen negatif itu," ujarnya.

Sebelum ini, penyanyi Nuha Bahrin juga pernah dikecam gara-gara menyanyi sumbang dan seperti menjerit.

Kesemua 24 peserta rookie perlu berentap dengan penyanyi berpengalaman atau digelar idol iaitu Tomok, Lan Solo, Aina Abdul dan Indah Ruhaila bagi merebut gelaran juara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain