suria

“Saya sakitkan hati ramai orang, buat perkara tak baik...” - Usia cecah 36 tahun, Nabila Huda syukur berjaya lalui ujian hidup

Perjalanan hidup mengajar Nabila Huda lebih kuat berdepan dugaan.

SEMPENA ulang tahun kelahiran yang ke-36, pelakon Nabila Huda berkongsi pengalaman kehidupan peribadinya yang penuh ujian.

Ujar Nabila, dia melalui banyak perkara dalam hidup dan menganggap masa lalu adalah kenangan paling manis yang mengajar dirinya menjadi lebih kuat.

Nabila turut mendedahkan kehidupannya sebelum ini dipenuhi dengan kesepian, kesedihan dan kekecewaan sehingga hampir berputus asa.

ARTIKEL BERKAITAN: Video menangis teresak-esak ketakutan, rupa-rupanya Nabila Huda hanya berlakon - “Saya rasa bersalah pula!”

"Saya melalui pelbagai cabaran dalam hidup dan kisah silam merupakan kenangan paling indah, kehidupan saya yang lalu banyak mengajar saya untuk mengenali diri.

"Saya pernah berasa kesunyian, kemurungan, dipenuhi kesedihan, air mata, kematian, putus asa, penat, kecewa, kesakitan, sakit hati," tulisnya di Instagram miliknya pada Rabu.

Rata-rata ruang komen tersebut dipenuhi dengan ucapan selamat ulang tahun dan mendoakan aktres itu melalui kehidupan yang lebih bahagia.



Perkongsian ucapan ulang tahun di Instagram milik Nabila Huda

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi rock Amy Search ini berkata, dia tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak kerana menganggap dugaan itu mengajar dirinya untuk kuat menjalani kehidupan kini.

"Saya banyak sakitkan hati ramai orang, buat perkara tidak baik, pentingkan diri sendiri dan terlalu banyak kebencian dalam diri saya.

"Tapi perjalanan hidup saya dan pengalaman mengajar saya untuk jalani hidup dan menjadi diri saya kini.

"Saya tidak akan menyalahkan sesiapa, tidak akan salahkan perkahwinan yang gagal, perpisahan keluarga dan ibu bapa saya," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Kamar Kamariah ini bersyukur apabila Allah memakbulkan doanya untuk mempunyai keluarga yang sempurna dan bahagia.

"Benda yang saya impikan dan berangan untuk ada keluarga yang sempurna, Allah telah permudahkan impian saya! Saya lebih bahagia sekarang bersama dengan keluarga yang sempurna.

"Bangun dan bersyukur sebab saya masih ada ibu bapa, abang, kakak, adik, dan rakan-rakan lain.

"Saya dikelilingi oleh orang yang sayang Abil, bersyukur ada anak-anak dalam kehidupan walaupun kadang-kadang menjengkelkan. Macam saya kata, saya reda mungkin apa yang terjadi ni dah tertulis, Selamat Ulang Tahun kepada saya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain