suria

Gara-gara komen ‘doa baik-baik’ untuk Da'i Syed, niat Wanns Ahmad disalah anggap netizen - “Ini ujian untuk dia supaya jadi iktibar kepada kita semua”

Wanns Ahmad simpati dengan ujian yang terpaksa dilalui oleh Da'i Syed.

TINDAKAN pelakon Wanns Ahmad menulis komen meminta pengikut mendoakan supaya urusan pendakwah selebriti, Da'i Syed dipermudahkan sepanjang tempoh tahanan reman mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.

Menurut Wanns, 29, niatnya itu disalah anggap oleh netizen sehingga ada yang mengungkit pelbagai cerita lama membabitkan dirinya sebelum ini.

"Saya kenal Syed kira-kira lima tahun lalu, kenal rapat juga sebenarnya walau tak selalu lepak... dahulu kita selalu sertai program TV3 bersama, jadi di situ mula kenal.

ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed jumpa Hafiz Hamidun sebelum ditahan... sempat beri nasihat, ‘contact’ peguam - “Dia tunduk dan faham”

"Sebagai kenalan semestinya saya hanya mampu mendoakan semoga semuanya dipermudahkan dan saya ada tulis komen doa yang baik-baik di hantaran Da'i Syed dan laman sosial portal berita.

"Gara-gara komen itu saya dihentam teruk... netizen ungkit balik mengenai gimik pelancaran lagu saya sebelum ini, cakap saya artis sendulah, pengikut dajal la. Biasalah mulut jahat netizen terutamanya akaun palsu," katanya kepada mStar.

Wanns mula mengenali rapat Syed sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, pelakon drama Seindah 7 Warna Pelangi ini menasihati netizen supaya tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum kerana isu ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Kita tak tahu lagi apa sebenarnya yang berlaku... walaupun dah banyak bukti yang digembar-gemburkan oleh blogger dan YouTuber, kita tak boleh cepat jatuhkan hukum, serahkan sahaja pada pihak berkuasa.

"Andai betul dia bersalah, dia akan terima hukumannya dan bukan kita yang menghukumnya... saya faham memang ramai yang marah kalau dia buat perkara tidak bermoral itu tapi buat masa tak perlulah nak cakap atau doa yang buruk-buruk kepada dia.

"Ini ujian untuk dia supaya jadi iktibar kepada kita semua, jadi kepada semua akaun palsu yang terus menghukum tu cukup-cukuplah! Kalau tak fikir soal Syed, fikirlah hati dan perasaan ahli keluarga dia. Lagipun belum ada apa-apa keputusan lagi kerana semuanya masih dalam siasatan," ujarnya.

Ini ujian untuk dia supaya jadi iktibar kepada kita semua.

WANNS AHMAD

PELAKON

Ditanya mengenai karakter peribadi Da'i Syed sepanjang perkenalan mereka, Wanns berkata pemuda berusia 25 tahun ini seorang yang periang dan mudah bergaul.

"Dia periang, peramah, nakal-nakal sikit itu biasalah sebab dia pun masih muda... cuma nakal-nakal yang gatal tu tak pernah pula depan saya, jadi tak pasti!

"Apa-apa pun lebih baik kalau kita doakan yang baik-baik untuk semua orang dan semoga kita semua mendapat keberkatan Allah," katanya.

Pada 26 November lalu, Syed ditahan selepas polis menerima laporan dakwaan rogol terhadapnya.

Mereka sering menyertai program anjuran sebuah stesen televisyen.

Pendakwah yang dicungkil bakat menerusi program realiti ini direman bermula 26 November lalu dan disambung sehingga Ahad ini.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menerima tujuh laporan polis iaitu dua membabitkan Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol), tiga kes bagi Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cabul) dan satu kes di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii).

Manakala satu kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut susulan tiada unsur gangguan seksual.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Da'i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, ditahan semula pada pagi Selasa selepas tempoh reman pertama berakhir pada 1 Disember.

Suspek ditahan reman selama lima hari lagi sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan.

Peguam yang mewakili suspek iaitu Ahmad Amzar Ahmad Azlan memberitahu pihak media, Da'i Syed menafikan kesemua tuduhan yang dibuat ke atasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain