suria

Wani Comel derita lagi, masuk hospital akibat jangkitan paru-paru - “Dia tak pernah buat pemeriksaan selepas potong usus”

Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan ada jangkitan kuman di paru-paru Wani.

GADIS obesiti dikenali sebagai Wani Comel yang baharu sahaja membuat pendedahan berhubung ditipu seorang usahawan pada Jumaat lalu dikejarkan ke Hospital Putrajaya kira-kira pukul 9 pagi Isnin selepas berdepan dengan masalah pernafasan.

Wakil kepada Wani atau nama sebenarnya Nurul Airawani Nazira Ibrahim yang dikenali sebagai Muhammad Shah memberitahu bahawa gadis berusia 23 tahun itu mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

ARTIKEL BERKAITAN: Diarah ‘potong usus’ agar ubat langsing terjual... Wani Comel tanggung derita diperdaya usahawan kosmetik terkenal

Menurutnya lagi, Wani berkemungkinan mendapat jangkitan tersebut selepas menjalani pembedahan bariatrik (potong usus) pada Ogos tahun lalu berikutan dia tidak pernah melakukan sebarang pemeriksaan susulan.

Wani dikejarkan ke Hospital kira-kira pukul 9 pagi.

"Wani dikejarkan ke hospital sekitar pukul 9 pagi tadi selepas dia mengalami kesukaran untuk bernafas. Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan ada jangkitan kuman di paru-paru Wani.

"Selepas Wani melakukan pembedahan potong usus, dia tak pernah pergi buat pemeriksaan susulan. Kita memang berniat untuk bawa dia menjalani pemeriksaan untuk tahu status sebenar apabila mengetahui dia tidak menjalani sebarang rawatan dan pemeriksaan susulan.

"Mengenai punca jangkitan... saya serah pada pihak hospital dan kita lihat keadaan Wani memang tidak berapa sihat semenjak pertemuan pertama di Jerantut.

"Cuma kita memerlukan masa bagi menyediakan bantuan supaya Wani boleh mendapatkan rawatan." kata Shah kepada mStar.

Wani menerusi Instastory pada Isnin memuat naik foto dia berada di sebuah hospital mendapat perhatian netizen di laman sosial.

Doktor terpaksa menahan Wani di wad sebab nak menunggu hasil ujian pemeriksaan keadaan diri dia.

MUHAMMAD SHAH

WAKIL WANI COMEL

Sebelum ini, Wani yang berdepan masalah berat badan hampir 300 kilogram meluahkan rasa kecewa dan mendakwa seorang usahawan kosmetik terkenal menabur janji manis selain menyediakan kontrak perjanjian berat sebelah.

Menerusi laporan mStar pada Jumaat lalu, Wani berharap masalah berat badannya selesai selepas menjadi duta produk ubat kurus usahawan kosmetik terkenal itu namun hampa belaka.

Justeru, gadis malang itu terpaksa bertindak menuntut pampasan sebagai ganti rugi kerana mendakwa tidak mendapat sebarang faedah seperti dijanjikan.

Wani meluahkan rasa kecewa apabila seorang usahawan kosmetik terkenal menabur janji manis.

Menceritakan lebih terperinci, Wani berkata pada Ogos tahun lalu usahawan berkenaan tampil menawarkan pembiayaan bagi menjalani pembedahan bariatrik serta mengikatnya sebagai duta produk pelansingan badan.

Dalam pada itu, Shah memberitahu buat masa sekarang Wani masih ditahan di wad zon kuning sementara menunggu keputusan pemeriksaan ujian makmal.

Tambahnya Wani pernah mengadu sakit di bahagian perut sejak dia menjalani pembedahan tersebut.

"Doktor terpaksa tahan Wani di wad sementara menunggu hasil ujian kesihatan. Pihak hospital juga terpaksa berbuat demikian agar pemeriksaan lanjut boleh dijalankan untuk mengetahui status kesihatan Wani. Saya harap semua orang boleh doakan untuk keadaan kesihatan Wani," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain