suria

“Terima kasih ambil tahu fasal saya, saya sihat... makan okay semua” - Da'i Syed

Da'i Syed tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman. -AZMAN GHANI/The Star

KEHADIRAN pendakwah muda kontroversi iaitu Da'i Syed ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Isnin menarik tumpuan pengamal media yang tertanya-tanya apakah kesudahan episod hitam hidupnya selepas dikaitkan dengan beberapa dakwaan jenayah rogol dan cabul.

Dia yang nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, tiba di kompleks mahkamah itu kira-kira pukul 10.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu, berbeza sebelum ini apabila dia muncul dengan pakaian yang sama berwarna hijau ketika di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Kali ini, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya ingin memohon perintah tahanan reman berhubung dua laporan diterima polis daerah itu berkaitan kes yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu sekolah, pelajar kolej dakwa jadi mangsa... Polis PJ pula akan tahan Da’i Syed

Dia sempat menegur pengamal media yang menunggunya sejak awal pagi.

"Assalamualaikum semua, terima kasih datang. Saya sihat Alhamdulillah... makan okay semua.



Syed Shah Iqmal hadir di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Terima kasih semua sebab datang, ambil tahu fasal saya," katanya dengan nada ceria.

Terdahulu pada Ahad, Syed yang dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama 10 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ditahan semula oleh pasukan polis daripada IPS Petaling Jaya.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya akan menyiasat berhubung dua laporan membabitkan kes rogol dan cabul serta seks luar tabii.

Kes rogol dilaporkan oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga seorang guru sebuah sekolah di Lembah Klang.

Berdasarkan laporan, dalam kejadian 22 Oktober lalu itu, mangsa dipelawa keluar makan malam oleh suspek untuk menyambut hari lahirnya di sebuah restoran di Petaling Jaya, kira-kira pukul 9 malam sebelum diajak ke sebuah rumah di Damansara Perdana, Selangor dan dirogol.

Kes kedua berkaitan cabul dan seks luar tabii (seks oral) pula dilaporkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi pada 17 Oktober lalu, wanita itu dipelawa suspek ke rumahnya di Damansara Perdana, untuk mengajar mengenai pemasaran perniagaan.

Semasa di rumah suspek, mangsa dicabul selain turut dipaksa melakukan seks oral.

Laporan lanjut bakal menyusul.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain