suria

Diarah ‘potong usus’ agar ubat langsing terjual... Wani Comel tanggung derita diperdaya usahawan kosmetik terkenal

Selepas selesai menjalani pembedahan, segala urusan pemeriksaan susulan juga dilakukan sendiri tanpa diberikan wang pembiayaan.

SEORANG gadis yang mengalami masalah berat badan hampir 300 kilogram berharap masalahnya itu selesai selepas menjadi duta produk ubat kurus usahawan kosmetik terkenal namun hampa belaka.

Ia selepas usahawan itu hanya menabur janji manis selain menyediakan kontrak perjanjian berat sebelah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kerjalah adik Wani sayang oi, dah boleh jalan carilah rezeki... awak nak harap duit bantuan sampai bila?” - Aliff Syukri

Justeru, gadis malang itu, Nurul Airawani Nazira Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Wani Comel, 23, terpaksa bertindak menuntut pampasan sebagai ganti rugi kerana mendakwa tidak mendapat sebarang faedah seperti dijanjikan.

Menceritakan lebih terperinci, Wani berkata pada Ogos tahun lalu dia usahawan berkenaan tampil menawarkan pembiayaan bagi menjalani pembedahan bariatrik (potong usus) serta mengikatnya sebagai duta produk pelansingan badan.

“Selepas menjalani pembedahan di salah sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2019, saya telah didatangi wakil usahawan tersebut untuk menandatangani kontrak.

Wani berasa sebak mendedahkan penganiayaan dan pelanggaran kontrak seorang jutawan kosmetik popular terhadap dirinya.

“Saya tidak diberitahu dengan jelas tentang kandungan kontrak tersebut, ” katanya kepada mStar.

Akui Wani dia menyedari kesilapannya menandatangani kontrak berkenaan tanpa mengetahui kandungannya.

Namun janji tinggal janji, apabila selepas pembedahan segala urusan pemeriksaan susulan dilakukan sendiri tanpa bantuan usahawan berkenaan.

Malah ujarnya semua rekod kesihatan disimpan oleh usahawan tersebut dan dia tidak mengetahui status dan tindakan lanjut berkaitan kesihatannya.

Ada yang menggelar saya sebagai tidak kenang budi, pemalas dan hanya mengharapkan bantuan semata-mata.

WANI COMEL

DUTA UBAT KURUS

“Saya memikirkan soal keluarga kerana pihak usahawan tersebut berjanji akan membantu saya daripada segi rumah, kereta dan belanja harian.

“Namun saya tidak menerima sebarang bantuan seperti yang dijanjikan.

"Lebih menyedihkan apabila saya cuma menerima bayaran kurang daripada RM1,000 selepas menghasilkan content tentang produk pelangsingan badan, ” kata gadis kelahiran Jerantut, Pahang ini.

Dalam pada itu, Wani turut memberitahu bahawa dia terpaksa membuat laporan polis untuk menjamin keselamatan diri selepas diugut wakil usahawan tersebut.

Wani (kanan) bersama peguamnya Haziq Aizuddin Subhi (tengah), Muhammad Shah, dan wakil NGO menunjukkan laporan polis bersama kontrak perjanjian.

“Saya dimarahi hanya kerana menerima bantuan daripada pihak lain. Saya mengalami kemurungan disebabkan perkara tersebut selain turut dikecam dan dicaci netizen dengan tuduhan tidak berasas.

“Ada yang menggelar saya sebagai tidak kenang budi, pemalas dan hanya mengharapkan bantuan semata-mata, ” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Wani iaitu Haziq Aizuddin Subhi menyatakan pihaknya telah meneliti kandungan kontrak perjanjian tersebut dan mendapati ia hanya memberi kelebihan kepada pihak syarikat pengeluar produk itu sahaja.

“Kita sudah menyerahkan surat tuntutan kepada pihak usahawan kosmetik itu untuk menyelesaikan segala tuntutan yang dibuat dalam masa tujuh hari menerusi perbincangan kedua-dua pihak.

“Sekiranya tiada sebarang respons, kami tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini ke mahkamah sebagai jalan terakhir," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain