suria

Azhan Rani enggan terlibat ‘pesta’ ketawakan Da’i Syed - “Ramai nak bergurau sindir-menyindir, mohon jangan libatkan saya!”

Netizen kaitkan nama Azhan dengan isu Da'i Syed.

KES dakwaan salah laku seks membabitkan Da'i Syed seolah-olah dianggap remeh oleh segelintir netizen apabila ia dijadikan modal gurauan iaitu mengaitkan isu berkenaan dengan drama bersiri popular Nur.

Malah nama pelakon Azhan Rani yang terkenal dengan watak Ustaz Hamadi menerusi drama itu turut dikaitkan kerana dikatakan mempunyai persamaan dengan situasi sebenar membabitkan Da'i Syed.

ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed jumpa Hafiz Hamidun sebelum ditahan... sempat beri nasihat, ‘contact’ peguam - “Dia tunduk dan faham”

"Dah boleh jadi pelakon cerita Nur 3 dah ni... ganti Azhan Rani," tulis seorang pengguna Instagram.

Kurang senang apabila namanya dikaitkan dengan kontroversi itu, Azhan, 44, tampil memberi amaran kepada individu berkenaan agar tidak melibatkannya memandangkan isu tersebut masih dalam siasatan.

Azhan meminta netizen tidak melibatkan namanya dengan isu Da'i Syed.

"Kalau nak jadi bahan gurau dan sindir tentang isu ini, buat sendiri saja. Jangan libatkan saya. Soal hukum dunia ada undang-undang yang akan tentukan dan di akhirat juga pasti ada ketentuannya.

"Saya sendiri pun tak tahu saya nanti di syurga atau neraka. Kesimpulannya mohon jangan libatkan saya," balas Azhan di ruang komen posting IGTV @mstaronlineofficial berhubung kenyataan polis bagi kes Da'i Syed.

Rata-rata netizen turut mengkritik tindakan individu tersebut yang dianggap tidak sensitif.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menerima tujuh laporan polis iaitu dua membabitkan Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol), tiga kes bagi Seksyen 354 Keseksaan (cabul) dan satu kes di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii).

Manakala satu kes lagi diklasikasikan sebagai tiada tindakan lanjut susulan tiada unsur gangguan seksual.

Isu ini sedang berjalan di mahkamah biarlah mahkamah tentukan.

AZHAN RANI

PELAKON

Huzir berkata suspek menggunakan modus operandi yang sama iaitu berkenalan melalui Instagram, mengajak mangsa keluar makan sebelum memperdaya mereka ke rumahnya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sementara itu jawapan balas Azhan mengundang reaksi netizen lain yang menuduh dia berasa 'sentap' dengan gurauan berkenaan.

Namun jelas Azhan dia tetap tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk gurauan dalam isu kontroversi seperti itu.

"Bukan soal sentap. Isu ini tak ada kena mengena dengan saya. Saya pun tak kenal dia. Soal drama saya biar habis di TV saja.

Da'i Syed direman sehingga 6 Disember.

"Saya faham ramai nak bergurau dan berpesta sindir-menyindir... cuma mohon jangan libatkan saya. Ini soal menghormati orang lain. Isu ini sedang berjalan (siasatan) dan biarlah mahkamah tentukan.

"Kalau dia salah pun, bukan kita yang akan hukum dia dan tak ada sebab saya kena turut serta berpesta ketawakan dia. Jangan libatkan saya," ujarnya.

Menerusi laporan mStar pada Selasa, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, ditahan semula selepas tempoh reman pertama berakhir pada 1 Disember.

Suspek ditahan reman selama lima hari lagi sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan.

Menurut peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan, suspek tetap dengan pendiriannya menafikan semua dakwaan terhadapnya dan sedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membersihkan namanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain