FOTO tayang cincin yang mencetuskan spekulasi pengacara dan penyanyi Harris Alif sudah melamar kekasihnya Intan Ladyana rupa-rupanya hanya gimik untuk lagu baharu berjudul Anugerah. Pemilik nama sebenar, Harris Alif Nor Rashidi, 21, menjelaskan foto aksi romantis bersama aktres itu merupakan satu babak dalam muzik video lagu berkenaan yang dilancarkan pada Jumaat.ARTIKEL BERKAITAN: Foto tayang cincin, Harris Alif lamar Intan Ladyana? "Bagi saya biasalah kalau penyanyi nak berkongsi gambar babak-babak dalam muzik video lagu mereka. Bila kita nak keluarkan satu-satu lagu atau projek baharu, kita kena bagi sesuatu untuk buat orang tertunggu-tunggu, jadi saya boleh katakan ia sebagai gimik juga. "Setakat ini, penerimaan peminat terhadap lagu ini sangat memberansangkan. Single ini juga saya tujukan buat Intan kerana ia merupakan lagu romantis yang boleh dikaitkan dengan kisah cinta sesiapa jua di luar sana," katanya kepada mStar. Salah satu babak dalam MV Anugerah. Anugerah merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Archie Nasution dan diedarkan oleh Sony Music Malaysia. Sementara itu, mengulas tentang hubungan cinta mereka, Harris berkata, dia dan Intan dalam perancangan untuk ke fasa seterusnya. Kami mungkin akan terus melangsungkan majlis pernikahan tanpa bertunang. HARRIS ALIF PENGACARA/ PENYANYI Katanya, mereka juga mahu terus melangsungkan pernikahan tanpa mengadakan majlis pertunangan. "Memang dari awal perkenalan dengan Intan, kami ada berbual mengenai masa depan dan ikatan perkahwinan. Kami mungkin akan terus melangsungkan majlis pernikahan tanpa bertunang. "InsyaAllah, saya akan beritahu kepada pihak media bila tiba masanya nanti. "Kita tunggu sahaja majlisnya nanti, buat masa sekarang memang saya tidak boleh komen apa-apa mengenai hal itu," katanya. Jarak usia 17 tahun bukan penghalang cinta Harris dan Intan. Menerusi laporan mStar pada 27 Mei lalu, Harris mengakui kini sedang bahagia menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon berusia 38 tahun itu. Pengacara program Generasi Z itu turut menjelaskan perbezaan usia 17 tahun bukan penghalang untuk mereka meneruskan hubungan tersebut. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!