suria

Naim Daniel tak muncul di majlis pelancaran 'Lara', masih sakit di bahagian rahang akibat kemalangan Khamis lalu

Hael Husaini dan Haqiem Rusli menyanyikan lagu Lara di majlis pelancaran yang berlangsung pada Selasa.

AKIBAT terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu, penyanyi Naim Daniel tidak hadir ke majlis pelancaran lagunya bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli berjudul Lara yang diadakan di Hotel The Chow Kit, Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut Pengarah Urusan Worldpeace Entertainment, Usaid Hamdi, Naim terpaksa direhatkan buat sementara waktu selepas mengalami sakit di bahagian rahang pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel kemalangan, hilang kawalan selepas langgar ‘divider’ - “Rahang rasa terkehel, nak bercakap pun sukar”

Tambah Usaid, penyanyi lagu Sembah itu juga masih menunggu keputusan pemeriksaan daripada pihak hospital berhubung bahagian rahang yang terkehel.

“Beberapa hari selepas kejadian, keadaan dia masih okay dan boleh bekerja. Tetapi semalam (Isnin) dia mengadu sakit walaupun dah memang ada niat untuk datang ke pelancaran lagu Lara pada hari ini.

“Tetapi kerana keadaan dia yang sakit itu, doktor meminta dia untuk berehat dahulu dan mendapatkan rawatan sementara menunggu keputusan pemeriksaan rahang tersebut, ” katanya kepada mStar.

Doktor meminta dia untuk berehat dahulu dan mendapatkan rawatan sementara menunggu keputusan pemeriksaan rahang tersebut.

USAID HAMDI

PENGARAH URUSAN WORLDPEACE ENTERTAINMENT

Usaid berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan Naim dalam Majlis Pelancaran Lagu Lara yang menyaksikan trionya bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli.

Sebelum ini, Naim Daniel berdepan situasi cemas apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) kira-kira pukul 12 tengah hari, Khamis lalu.



Naim mengalami kemalangan jalan raya pada Khamis.

Menerusi laporan mStar pada Khamis lalu, Naim memberitahu kereta jenis Ford Ranger pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke Sri Pentas bagi rakaman sebuah program hiburan.

Kejadian itu berlaku apabila dia cuba mengelak kereta dari arah belakang hingga menyebabkannya hilang kawalan.

Biarpun kereta itu mengalami kerosakan di bahagian depan, namun Naim dan kakaknya tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Dalam pada itu, Usaid mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan rakan-rakan industri yang tidak berhenti mendoakan kesihatan pelakon drama bersiri Lelaki Lindungan Cinta.

“Kemungkinan keputusan perubatan itu akan diperolehi pada hari ini atau esok. Terima kasih buat semua yang mendoakan agar Naim dapat kembali dengan lebih kuat, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain