suria

Azmi Caliph Buskers hidup susah awal perkahwinan, gadai gelang emas isteri sebab nak pindah rumah - “Dia penjawat awam ada gaji tetap”

Azmi menghargai sokongan dan ketulusan isterinya sepanjang 10 tahun mereka berkahwin.

BAKAL meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan bulan depan, vokalis kumpulan Caliph Buskers iaitu Azmi Saat mendedahkan isterinya Nazirah Muhammad pernah mengadai barang kemas demi menampung keperluan hidup mereka.

Menurut Azmi, 33, tindakan isterinya itu sangat dihargai dan diingati kerana ketika itu dia berdepan masalah kewangan kerana tiada kerja tetap.

"Pada awal perkahwinan iaitu dalam tempoh dua ke tiga tahun, isteri banyak bantu... apatah lagi dia adalah seorang penjawat awam dan mempunyai gaji tetap.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan sampai tak boleh makan, cukup je lagi” - Azmi Caliph Buskers ‘adjust’ perbelanjaan, terpaksa kurangkan bayar bil elektrik

"Isteri juga pernah mengadai hantaran perkahwinan berupa gelang emas sebab kami nak buat duit pendahuluan pindah rumah sewa baharu.

"Jadi, apabila saya sudah ada sedikit duit, barulah saya belikan gelang baharu sebagai ganti dan berikan dia duit untuk tebus semula barangan kemas yang digadai," katanya.



Azmi hargai pengorbanan isteri.

Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazirah juga cacat penglihatan pada tahun 2011.

Meskipun tidak sempurna seperti insan lain, Azmi berkata dia dan isteri tetap bahagia dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.

Malah dia turut pernah membuat kejutan istimewa kepada isteri dengan menghadiahkan bunga dan barangan kemas.

Kalau diberi peluang nak pasangan normal atau macam saya, saya nak yang sama macam saya!

AZMI SAAT

PENYANYI

“Saya pernah buat kejutan dengan belikan barang kemas, ketika itu saya masih bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan mencecah RM1,000 sebulan jadi adalah lebih duit sikit. Isteri saya suka bunga, jadi saya belikan bunga!

“Walaupun dalam keadaan begini, saya tidak berasa ia satu kekurangan atau susah pun. Kalau diberi peluang nak pasangan normal atau macam saya, saya nak yang sama macam saya.

“Sebab kami saling memahami selain mengetahui kekuatan dan kekurangan masing-masing. Kalau kahwin dengan isteri normal, saya pasti tak dapat membantu dan menjaganya sebab dia kena buat semua sediri malah perlu menguruskan saya pula jadi apabila dapat yang sama, kami buat bersama-sama... susah dan senang kami bersama, ” ujarnya.



Kumpulan Heart yang dianggotai Azmi, Ezad Lazim dan Danial Zaini sedang bersaing dalam program Muzikal Lawak Superstar 2020.

Bercakap mengenai video muzik (MV) lagu Tulus, Azmi berkata dia berlakon sebagai individu celik sebelum mengalami kecelakaan hingga mengakibatkannya buta.

Tulus boleh didengari di semua platform digital dan MV rasmi akan dilancarkan di laman YouTube Universal Music Malaysia pada malam Khamis.

Tulus yang dilancarkan pada November tahun lalu memberikan transisi berbeza dalam kerjaya nyanyian Azmi Saat kerana ia karya pertama yang dicipta olehnya sekitar tahun 2008.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain