suria

“Ayah sanggup buat apa sahaja demi anak tapi disebabkan Covid-19, apa pun tak boleh buat” - Fizo Omar syukur kesihatan anak semakin pulih

Fizo Omar mendoakan anaknya cepat sembuh selepas disahkan positif Covid-19.

BUKAN mudah sebagai seorang bapa melihat anak yang masih kecil dimasukkan ke hospital lebih-lebih lagi apabila melibatkan virus Covid-19.

Itu luahan yang ditulis pelakon Fizo Omar menggambarkan isi hatinya sebaik mengetahui anaknya, Wan Maryam, 3, dijangkiti wabak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas isteri dan anak Fizo Omar positif Covid-19 - “Mawar dan Maryam double M kuat, boleh lawan”

"Sudah masuk hari keenam Maryam dirawat di hospital disebabkan jangkitan Covid-19. Alhamdulillah sekarang ini keadaan Maryam dah ok dan aktif seperti biasa.

"Inilah satu-satunya anak yang saya ada dan macam-macam usaha dilakukan selama empat tahun sabar menanti anak yang hebat ini.

Fizo Omar mendoakan kesihatan anak tunggalnya, Wan Maryam.

"Susah saya nak gambarkan perasaan seorang ayah yang menanti setiap detik keadaan anak di hospital yang sedang bertarung dengan Covid-19.

"Ayah sanggup buat apa sahaja demi anak tapi disebabkan Covid-19, apa pun tak boleh buat.

"Saya hanya mampu berdoa dan berharap Maryam kuat dan Allah sembuhkan dia dan kembali ke pangkuan saya," kata Fizo.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 36, turut berpesan agar semua rakyat Malaysia mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani masalah Covid-19 dengan ketat dan tidak leka dengan ancaman virus tersebut.

Susah saya nak gambarkan perasaan seorang ayah yang menanti setiap detik keadaan anak di hospital yang sedang bertarung dengan Covid-19.

FIZO OMAR

PELAKON

"Jangan pentingkan diri! Petugas barisan hadapan kerja siang malam tanpa rehat dah hampir setahun, ambil risiko yang sangat tinggi, kes makin naik, hospital penuh, ambulans sampai tak cukup.

"Wang ringgit tak payah cakaplah berapa dah habis, tapi masih ada lagi yang jenis tidak ambil kisah dan ambil peduli sebab apa, sebab tak kena pada batang hidung sendiri.

"Semoga doa yang ikhlas dari semua ini Allah makbulkan dan hapuskanlah musibah yang melanda kita semua," katanya.

Bekas isteri Fizo, Mawar turut disahkan positif Covid-19.

Menerusi laporan mStar pada Selasa, bekas isteri Fizo, Mawar Abdul Karim dan anak mereka, Wan Maryam, telah disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan di sebuah hospital sejak Isnin.

Fizo mendirikan rumah tangga dengan Mawar pada 10 November 2013 di Kajang, Selangor namun pasangan itu akhirnya bercerai pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia tiga tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain