suria

AJL35 ditunda, PKP halang tugas belakang tabir - “Kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain perlukan tenaga kerja yang ramai”

Hael bakal mempertaruhkan tiga buah lagunya di pentas AJL35.

SUSULAN perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu selama 14 hari, Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari depan ditunda ke tarikh yang masih belum ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, keputusan itu terpaksa dibuat kerana pelaksanaan PKP membantutkan kerja-kerja persediaan menjelang AJL35.

Sehubungan itu pihak penganjur memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam menjayakan anugerah berprestij itu dan berharap seluruh rakyat terus mematuhi PKP demi keselamatan semua.

Ernie bakal menyampaikan lagu ciptaannya berjudul Gundah.

"Ketika dalam sidang media AJL35 semalam (Ahad), saya dan Penerbit Eksekutif AJL35, Huda sememangnya berharap agar PKP tidak dilaksanakan dan AJL35 boleh berlangsung seperti yang dijadualkan.

"Namun petang tadi Perdana Menteri menguatkuasakan PKP bermula hari Rabu ini sehingga 26 Januari depan. Tempoh 14 hari PKP ini akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35, terutama kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain.

"Kerja-kerja pembinaan itu memerlukan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, untuk kebaikan semua pihak, kami memutuskan untuk menunda AJL35 ke tarikh yang akan diberitahu kelak, sebaiknya setelah tempoh PKP ditamatkan secara rasmi.

Shiha menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas AJL35 menerusi lagu 7 Nasihat.

"Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, mahupun secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan AJL35 ini. Kami berharap juga agar semua rakyat akan patuh PKP demi kebaikan dan keselamatan kita semua.” ujarnya lagi.

AJL35 yang menyaksikan 12 finalis sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 7 Februari depan di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan PKP bermula 13 hingga 26 Januari depan di enam buah negeri termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain