HAMPIR seminggu menjalani kuarantin kendiri di rumah, vokalis kumpulan Drama Band iaitu Aepul Roza berkata, keadaan kesihatannya tidak menentu. Aepul atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd Zalaludin, 33, yang disahkan positif Covid-19 Khamis lalu berkata, adakalanya dia berasa lemah dan tidak mampu untuk bangun. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Aepul Roza (Drama Band), anak pula disahkan positif Covid-19 - “I’m sorry baby girl” Bagaimanapun penyanyi berusia 33 tahun ini meluahkan rasa syukur apabila anak perempuannya iaitu Nur Saffiya Alisha yang turut dijangkiti virus itu sentiasa dalam keadaan aktif. Hanya Aepul dan anaknya sahaja disahkan positif Covid-19 manakala keputusan ujian calitan Leez negatif. "Saya ambil langkah untuk melakukan ujian calitan selepas mengetahui salah seorang kawan saya disahkan positif dan saya dianggap sebagai kontak rapat dia. "Selepas saya, anak perempuan saya pula disahkan positif. Keadaan saya sekarang tak menentu... ada hari, aktif saja tapi ada hari yang saya tak larat nak bangun langsung. "Tapi Alhamdulillah... keadaan anak saya, Alisha baik-baik sahaja. Dia pun sentiasa aktif. Harap semua mendoakan saya dan Alisha cepat sembuh," kata Aepul kepada mStar. Menerusi laporan mStar pada Khamis lalu, Aepul memberitahu keputusan ujian calitan atau swab test mendapati dirinya positif Covid-19. Saya ambil langkah untuk melakukan ujian calitan selepas mengetahui salah seorang kawan saya disahkan positif. AEPUL ROZA PENYANYI Selepas empat hari disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri, Aepul memaklumkan anaknya iaitu Nur Saffiya Alisha turut dijangkiti virus itu. Menerusi Instagram, Aepul berkata dia dan anak perempuan berusia lima tahun itu akan dikuarantin bersama sehingga sembuh dan bebas daripada jangkitan tersebut. Dalam pada itu, penyanyi lagu Biarkanlah ini memberitahu dia menjalani kuarantin di rumah memandangkan sehingga kini tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kata Aepul lagi, dia berasa bersyukur kerana mempunyai seorang isteri iaitu penyanyi Leez Rosli yang sentiasa menjaga mereka biarpun dalam keadaan hamil anak kedua. Aepul bersyukur semangat isterinya sentiasa kuat. "Buat masa sekarang, KKM tak ada hubungi saya untuk dibawa ke hospital. Mungkin keadaan saya tidak teruk. "Jadi, saya dan Alisha mengambil langkah menjalani kuarantin kendiri di rumah. Saya dan Alisha berada di bilik atas manakala isteri saya pula berada di tingkat bawah. "Saya bersyukur memiliki seorang isteri yang sentiasa menjaga saya dan anak kami. Sepanjang tempoh kuarantin ini, dia la yang menguruskan semua sekali walaupun dalam keadaan hamil. Dia seorang wanita yang kuat dan semangatnya juga kuat," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!