suria

Nora Ariffin seronok tengok anak belajar dari rumah, boleh perhati apa cikgu ajar - “Sebelum ni kita hanya hantar dan ambil mereka sahaja”

Nora Ariffin memantau pembelajaran anak-anak sepanjang tempoh PKP ini.

PELAKSANAAN proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa.

Golongan selebriti tidak terkecuali menyuarakan pandangan mereka mengenai PdPR termasuklah penyanyi Nora Ariffin yang melihatnya dari sudut positif.

Menurut Nora, proses pembelajaran norma baharu ini mempunyai banyak kelebihan antaranya dia dapat memantau pembelajaran anak-anak secara langsung di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak! Nora Ariffin lawat kubur anak sempena hari lahir ke-21 - “Maaf mama tak dapat cium dahi Alif”

"Apabila difikiran balik memang banyak hikmah kerja dari rumah dan kelas online ni. Kalau sebelum ni, kita hanya hantar dan ambil anak-anak kita ke sekolah sahaja.

"Kita tak boleh nak monitor sepenuhnya, kita tak dibenarkan berada di kawasan sekolah waktu belajar... tapi sekarang sangat best!



Nora kongsi pandangannya mengenai PdPR.

"Pengalaman pertama, sambil monitor anak-anak belajar saya pun secara tak langsung boleh dengar, perhatikan apa yang diajar oleh cikgu sekarang.

"Siapa guru yang mengajar serta macam mana anak kita respon ketika belajar. Zaman kita dulu-dulu memang tak sama. Wow! Sangat menarik, ” katanya.

Mereka boleh fokus kelas dan buat latihan tanpa kacau telefon atau laptop emak... kalau tidak memang pengsanlah kena bergilir pakai laptop dan telefon mama!

NORA ARIFFIN

PENYANYI

Penyanyi lagu Desa Tercinta ini berkongsi pandangannya itu menerusi Instagram pada Khamis.

Sementara itu, Nora berkata dia turut menyediakan kelengkapan dan gajet bersesuaian bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.



Nora ambil berat mengenai pendidikan anak-anak.

"Mula-mula memang agak susah untuk ibu bapa yang kurang mahir macam saya nak urus anak-anak belajar online terutamanya yang masih bersekolah rendah.

"Pening kepala juga... terima kasih Mr Shake Faizal bantu saya beri cadangan beli tab yang murah untuk memudahkan anak-anak belajar.

"Mereka boleh fokus kelas dan buat latihan tanpa kacau telefon atau laptop emak... kalau tidak memang pengsanlah kena bergilir pakai laptop dan telefon mama, ” ujarnya.

Sesi persekolahan tahun ini dibuka dengan norma baharu apabila semua pelajar kecuali calon yang menduduki peperiksaan utama tahun 2020 dikehendaki mengikuti kaedah PdPR bermula Rabu lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain