suria

Raja Azmi kena peras ugut gara-gara tertekan pautan diragui

Raja Azmi fobia selepas akaun Instagram digodam.

PRODUSER Raja Azmi tidak menyangka akaun laman sosial Instagram miliknya menjadi sasaran penggodam baru-baru ini.

Menurut pemilik nama sebenar Raja Azmi Raja Sulaiman, 62, sebelum ini dia biasa mendengar kisah mengenai akaun media sosial selebriti digodam namun terkejut apabila dia turut menjadi salah seorang mangsa jenayah siber itu.

Menceritakan lebih lanjut mengenai perkara itu, Raja Azmi berkata, penggodam tersebut turut memeras ugut dirinya agar membayar sejumlah wang jika mahu akaunnya dikembalikan seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dah muak dengan kontroversi” - Raja Azmi muncul pula dengan ‘Jerangkung Dalam Almari’

"Akaun saya kena hack Jumaat lalu, saya sebelum ini memang selalu berhati-hati dan tidak sewenang-wenang tekan link (pautan) yang diragui.

"Tapi hari itu saya terlupa dan kemudian tertekan link tersebut. Lepas itu baharu saya tahu akaun saya sudah digodam dan mereka terus tukar username dan password saya. Penggodam itu kemudian minta saya bayar duit padanya untuk dapatkan balik akaun tapi memang saya tidak layanlah permintaan dia.

Lepas terkena, saya jadi macam fobia dah nak tekan mana-mana link. Semua saya akan rujuk kepada anak saya dahulu, takut jadi apa-apa nanti.

RAJA AZMI

PENERBIT FILEM

"Saya terus buat laporan polis semalam (Ahad) sebab kawan sarankan buat laporan agar individu yang tidak bertanggungjawab ini dapat ditangkap supaya orang lain pun tak terkena sama dengan saya," katanya ketika dihubungi mStar.

Raja Azmi membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang, Selangor pada petang Ahad.



Raja Azmi buat laporan di Balai Polis Ukay Perdana.

Penerbit filem Cinta 200 Ela itu berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati nombor telefon yang digunakan individu tersebut adalah dari negara Turki namun polis masih lagi menyiasat sama ada hackers tersebut berpangkalan di sini atau di luar negara.

"Pihak polis sarankan saya untuk pergi buat laporan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam usaha untuk mendapatkan kembali akses ke Instagram saya.

"Saya pun dah e-mel HQ (ibu pejabat) Instagram dan mereka suruh saya tunggu dalam tempoh masa empat hari untuk memeriksa perkara tersebut," ujarnya.

Susulan perkara itu, Raja Azmi berkata dia sedikit fobia untuk menekan mana-mana link kerana enggan perkara sama berlaku kepadanya lagi di masa akan datang.

"Sebelum saya terkena, kawan baik saya, ikon Makyung Malaysia, Rosnan Rahman dah terkena dahulu. Dia lagi kasihan sebab hackers itu gunakan akaun dia dengan menghantar gambar-gambar lucah orang asing kepada rakan-rakannya di Instagram.

"Penggodam buat begitu sebab kawan saya ini tidak layan permintaan dia untuk bayar AS$300 (RM1,213) bagi mendapatkan akaun balik. Saya risau dia akan buat macam itu pada akaun saya juga.

"Lepas terkena, saya jadi macam fobia dah nak tekan mana-mana link. Semua saya akan rujuk kepada anak saya dahulu, takut jadi apa-apa nanti," katanya yang turut berpesan agar semua pihak berhati-hati dengan scam berbentuk jenayah siber ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain