suria

Roy masih di ICU, anak dan adik ipar pula disahkan positif Covid-19

Roy masih ditempatkan di unit ICU, Hospital Sungai Buloh.

SELEPAS penyanyi Roy atau nama sebenarnya, Mohammad Rauzan Alwi, 57, dijangkiti virus Covid-19, kini anak bongsu serta adik ipar penyanyi itu turut disahkan positif virus tersebut pada Jumaat.

Menurut isteri Roy, Haslinda Abdul Rahman, 56, anak, Siti Aishah, 23, dan adiknya yang turut menetap bersama mereka, Rahayu Abdul Rahman, 49, baharu sahaja mengetahui keputusan ujian calitan pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Roy akur tiada pakej untuk dijual, kembali jadi 'busker' - “Saya sedar... Perut buncit tak handsome”

"Selepas suami disahkan positif Covid-19, hari ini anak bongsu saya dan adik pula disahkan dijangkiti virus tersebut.

Roy ada hubungi saya dan kedengaran suaranya masih lagi lemah. Tapi dia ada beritahu keadaannya okay sikit dari sebelum ini namun dia masih lagi ada sesak nafas.

HASLINDA ABDUL RAHMAN

ISTERI ROY

"Sekarang mereka sedang menjalani kuarantin di rumah termasuk diri saya dan anak sulung. Keputusan ujian saya dan anak sulung masih belum didapati tapi pihak Kementerian Kesihatan kata mungkin akan dapat selewat-lewatnya pada hari ini juga.

"Saya tak tahu macam mana kami sekeluarga boleh dijangkiti Covid-19, mungkin sebab saya buka kedai makan. Walaupun kita sentiasa berjaga-jaga dengan SOP, tapi kita tak tahu mungkin ada di kalangan pelanggan yang dah dijangkiti virus tersebut," katanya ketika dihubungi mStar.

Selepas Roy, anak dan adik iparnya pula disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini Roy, Haslinda menjelaskan penyanyi lagu Kau Ratnaku itu kini masih dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.

"Roy ada hubungi saya dan kedengaran suaranya masih lagi lemah. Tapi dia ada beritahu keadaannya okay sikit dari sebelum ini namun dia masih lagi ada sesak nafas.

"Dia cakap selera makan dia biasa sahaja tapi tenaga dia makin baik jika dibandingkan ketika dia dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu," katanya.

Terdahulu, Roy dimasukkan ke Hospital Banting pada tengah malam Sabtu lalu akibat sesak nafas.

Roy pada mulanya pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi kemudiannya dirujuk ke hospital.

Hasil pemeriksaan, doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru penyanyi itu.

Roy turut menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum disahkan positif virus tersebut. Susulan itu dia terus dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain