suria

Isteri dalam pantang, Fadzil Zahari diganggu wanita misteri... siap hantar gambar seksi! - “Jenis tak faham bahasa, sondol la lelaki bujang... bukan sondol laki orang”

Fadzil berkongsi kandungan mesej daripada wanita tersebut.

SUAMI kepada pelakon Yana Samsudin iaitu Fadzil Zahari mendedahkan dia telah diganggu oleh seorang wanita menerusi aplikasi Telegram sejak November tahun lalu.

Menurut Fadzil atau nama sebenarnya Fadzil Bahri Zahari, wanita tersebut tidak berhenti menghantar mesej kepadanya biarpun sudah diberitahu mengenai statusnya sebagai suami orang dan mempunyai anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Yana Samsudin selamat bersalin anak kedua, cuti dua bulan dari main ‘game online’ - “Fadzil Zahari akan ganti... sokonglah, dia pun kelakar juga”

Malah, wanita tersebut juga tanpa berasa malu menghantar gambar seksi ketika dia sedang bekerja.



Fadzil berkongsi perkara itu di laman sosial miliknya.

"Suami atau bini curang ini kebanyakkan bermula daripada mesej. Kalau tak nak terlibat dengan benda ini, perlu la mencegah dari awal. Kalau ada yang mesej hi, tak payah la balas.

"Saya ada terima satu mesej, dia gigih juga walaupun dah beritahu kita ini laki orang. Nombor telefon saya memang letak di laman sosial sebab buat bisnes. Pertama kali dia mesej pada 26 November tahun lalu.

"Saya dah beritahu tak payah mesej... mesej la orang bujang tapi dia gagah nak juga. Dia pernah hantar gambar seksi kepada saya dan kebetulan ketika itu saya dengan staf perempuan.

"Saya terus tunjuk pada staf saya supaya jadi saksi kalau ada apa-apa berlaku. Dah banyak kali saya beritahu saya ini suami orang, ada anak dua orang dan nak tambah lagi anak," katanya.

Perempuan ini mula mesej telegram saya, masa isteri saya tengah berpantang anak nombor dua.

FADZIL ZAHARI

PELAKON

Pelakon berusia 38 tahun itu berkongsi perkara tersebut menerusi rakaman video yang memperlihatkan mesej daripada individu tersebut di laman Instagram miliknya.

Rata-rata netizen turut mengkritik tindakan berani individu tersebut dan ada juga segelintir mereka yang berkongsi pengalaman berdepan wanita seperti itu.

Dalam pada itu, pelakon drama Kerna Syurga Bukan Percuma ini bakal membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya individu tersebut melampaui batas.

Fadzil turut memberi pesanan kepada wanita seperti itu supaya mencari lelaki bujang daripada menganggu atau merosakkan rumah tangga orang lain.



Fadzil bersama Yana dan dua orang anak mereka.

"Jenis tak reti bahasa walaupun saya dah cakap banyak kali. Sehingga kini dia masih hantar mesej kepada saya tapi saya dah sekat nombor dia. Kalau dah melampau sangat, saya akan buat laporan polis atau ambil tindakan saman.

"Saya nak berpesan, sondol la laki bujang... bukan sondol laki orang. Saya pun tak faham perangai orang macam ini, dah tahu saya ini laki orang, sibuk nak try lagi, hang dah kenapa?

"Perempuan ini mula mesej telegram saya, masa isteri saya tengah berpantang anak nombor dua... siap hantar gambar seksi dia. Hangpa tengok la sendiri," ujarnya.

Fadzil mendirikan rumah tangga dengan Yana Samsudin pada 13 Februari 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aisy Mateen, 5, dan Aura Aisy Sofea yang kini berusia dua bulan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain