suria

Pertama kali jadi juara, Jiwa Firdaus anggap Mic On! buka jalan untuk jadi penghibur - “Saya akan kongsi rezeki bersama anak-anak yatim”

Jiwa akan tampil dengan single terbaharu berjudul Lumpuh tidak lama lagi.

PERNAH menyertai beberapa pertandingan nyanyian, penyanyi Jiwa Firdaus meluahkan rasa syukur buat pertama kali berjaya menjadi juara program Mic On! terbitan Awesome TV.

Jiwa atau nama sebenarnya Muhammad Firdaus menganggap program Mic On! merupakan platform baharu menampilkan konsep berbeza yang melahirkan seorang penghibur.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 minggu berentap di pentas Mic On!, Jiwa Firdaus muncul juara musim pertama

"Pertama sekali, saya sangat bersyukur dan tak jangka akan menjadi juara. Saya pernah menyertai beberapa program realiti sebelum ini tapi bagi saya, Mic On! satu platform yang baharu pada tahun ini.



Foto Jiwa dengan juri tetap, Mas Idayu.

"Biarpun saya mempunyai pengalaman sebelum ini tapi Mic On! memberikan satu pengalaman yang berbeza sebab konsep program itu sendiri menampilan kelainan.

"Menerusi program ini, bukan sahaja dapat melahirkan penyanyi tetapi penghibur juga. Saya banyak belajar sepanjang dalam program Mic On!," kata Jiwa kepada mStar.

Pentas akhir Mic On! yang berlangsung pada malam, Jumaat menerusi saluran Awesome TV menyaksikan Jiwa sebagai juara manakala Ainnur di tempat kedua dan Aaron menduduki tempat ketiga.

Saya akan kongsi rezeki bersama anak-anak yatim juga.

JIWA FIRDAUS

PENYANYI

Kesemua peserta program yang dikendali oleh pengacara Nana Mahazan itu setiap minggu dinilai oleh juri tetap iaitu Datuk M Nasir dan Mas Idayu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Qistina ini memberitahu dia terlebih dahulu memberikan wang kemenangan kepada ibunya yang sentiasa mendoakan dan memberi semangat kepadanya sepanjang dalam program tersebut.

Malah, Jiwa yang berasal dari Kuantan, Pahang ini juga akan berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim serta membuat simpanan untuk masa hadapannya.



Jiwa bersama Ainnur dan Aaron.

"Alhamdulillah... duit kemenangan itu sudah semestinya saya akan beri kepada ibu terlebih dahulu sebab berkat doa dan semangat dia juga saya berjaya menjadi juara.

"Selain itu, saya memang sudah berniat untuk buat majlis makan-makan tapi sebab PKP ini, tunggu masa yang sesuai. Saya akan kongsi rezeki bersama anak-anak yatim juga.

"Bagi saya, ini bukan rezeki saya seorang. Insya-Allah, saya akan simpan juga untuk masa kelak. Saya hanya gunakan untuk keperluan penting sahaja... tak akan membazir dekat perkara lain," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain