suria

“Malu rasanya, sepatutnya saya datang dekat dia” - Farid Amirul tak sangka Zulkifli Al Bakri masih kenal ‘Detektif Lim’

Detektif Lim disapa oleh Zulkifli Al Bakri selepas selesai pernikahannya di pejabat Jawi, pada Selasa.

PELAKON drama bersiri Gerak Khas, Farid Amirul tidak menyangka dia masih dikenali dan disapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri sewaktu hadir di di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut Farid, 55, yang popular menerusi watak Detektif Lim, Zulkifli sempat memberikan ucapan tahniah dan sudi membacakan doa selepas dia selesai melangsungkan pernikahan dengan isteri, Norhayati Abdullah.

"Saya memang tak sangka, kebetulan Datuk Seri ada urusan di sana... dia panggil saya dan sempat doakan untuk kami. Malu rasanya, sepatutnya saya yang datang dekat dia, tetapi sebaliknya pula.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Erra Fazira selamat bernikah - “Tak sangka... memang berita mengejutkan”

"Walaupun pakai pelitup muka, dia masih kenal saya... memang rasa sangat berbesar hati kerana seorang ulama, menteri mendoakan pernikahan saya ini.

Foto Farid ketika dirakamkan pada Oktober 2010.

"Walaupun sibuk kerana perlu menyelesaikan urusan di tempat lain tapi dia tetap luangkan masa berborak dengan kami... dalam banyak-banyak pengantin, dia pilih bercakap dengan saya. Ini merupakan kenangan cukup bermakna buat saya dan isteri," katanya kepada mStar.

Sebelum itu, menerusi Instagram Zulkifli memaklumkan dia terserempak dengan Farid yang baru selesai melangsungkan pernikahan.

InsyaAllah, selepas ini jika dibenarkan buat majlis, kami akan adakan majlis resepsi sama ada di Kuala Lumpur atau di kampung halaman isteri di Kuala Krai, Kelantan!

FARID AMIRUL

PELAKON

Dalam kapsyen yang ditulis, Zulkifli turut mendoakan agar hubungan pernikahan mereka terus berkekalan hingga ke akhir hayat dan dikurniakan zuriat yang soleh serta solehah.

Sementara itu, Farid berkata pernikahannya dengan Norhayati, 39, berjalan lancar meskipun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Farid teruja dapat bertemu Zulkifli di hari pernikahannya.

"Alhamdulillah, semuanya selesai dengan lancar. Sepatutnya ia berlangsung pukul 12 tengah hari tapi dilewatkan sedikit memandangkan ada beberapa pasangan lain sebelum kami.

"Majlis semalam dihadiri lima orang termasuk saya dan juga isteri. Akad nikah disempurnakan oleh jurunikah daripada Jawi, Ustaz Maliki.

"InsyaAllah, selepas ini jika dibenarkan buat majlis, kami akan adakan majlis resepsi sama ada di Kuala Lumpur atau di kampung halaman isteri di Kuala Krai, Kelantan," ujarnya yang turut memaklumkan ini perkahwinan pertama mereka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain