suria

Bunga Isme tak sangka ‘dapat’ Noraniza Idris dalam lagu ‘Intan Payung’ - “Saya memang bayangkan Kak Ani seperti ibu menasihati anak”

Bunga tidak menyangka berpeluang bergandingan dengan Noraniza Idris dalam lagu Intan Payung.

TAMPIL dengan single terbaharu berjudul Intan Payung, penyanyi rap Bunga Isme mengakui tidak menyangka bakal bekerjasama dengan Noraniza Idris menerusi karya berkenaan.

Menurut Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini, dia pernah membayangkan Noraniza menyanyikan bahagian korus lagu itu seperti seorang ibu menasihati anak.

Ujarnya karakter Noraniza difikirkan sangat sesuai kerana lagu tersebut juga menceritakan kisah perjalanan karier seninya yang berdepan dengan pelbagai cabaran.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau tak dengar pun apa aku rap!” - Bunga Isme kecil hati kumpul peminat hanya sebab pakai baju kurung, bukan bakat

Biarpun pernah dipandang rendah oleh segelintir pihak namun penyanyi berusia 21 tahun ini tetap mahu bekerja keras sehingga mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Bunga pertama kali bekerjasama dengan Noraniza Idris.

"Dalam lagu ini, saya memang bayangkan bahagian korus dinyanyikan oleh kak Ani... seperti seorang ibu menasihati anaknya yang baru nak belajar. Keseluruhan lagu ini menceritakan diri saya.

"Saya masih baharu dalam industri dan perlukan seseorang yang lebih matang daripada saya untuk memberi nasihat tentang industri seni dan kehidupan.

"Saya baru baharu setahun jagung dan disebabkan itu ada yang pandang rendah dan mempertikaikan tindak tanduk dan tidak kurang juga memberikan kecaman.

"Tapi tak apa, perlahan-lahan saya kayuh asalkan sampai ke hujung juga... tak kisah lambat atau cepat. Saya selalu berpesan pada diri sendiri... kalau dah berjaya capai sesuatu, jangan lupa diri dan asal usul," katanya kepada mStar.

Saya memang tak tahu yang pihak Warner pilih kak Ani untuk lagu ini.

BUNGA ISME

PENYANYI RAP

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Bunga ini berkongsi perkara itu ketika sesi bersama media yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Lagu duet bersama Ratu Pop Etnik Malaysia, Noraniza Idris itu merupakan ciptaan Bunga bersama penerbit, pencipta dan penyanyi rap, Luca Sickta.

Dalam pada itu, Bunga turut memberitahu pemilihan Luca sebagai penerbit lagu tersebut juga atas kehendaknya yang meminati karya-karya penyanyi rap tersebut.

Malah, Bunga mengakui dia juga teruja apabila mengetahui syarikat rakaman Warner Music Sdn Bhd memilih Noraniza untuk bekerjasama.

Bunga akui masih baharu dalam industri seni.

"Sebenarnya memang saya pilih Luca Sickta untuk terbitkan lagu ini sebab tahu bahawa dia seorang yang penerbit lagu berunsur kemelayuan. Saya pun nak buat sesuatu yang lain.

"Masa saya dan pihak Warner bertemu dengan Luca untuk berbincang mengenai konsep lagu ini macam mana... Kmy pun ada juga ketika itu. Selepas beberapa hari, pihak Warner beritahu mereka berjumpa pula dengan kak Ani untuk kolaborasi.

"Saya memang tak tahu yang pihak Warner pilih kak Ani untuk lagu ini. Bila jumpa dengan mereka, baharu la saya tahu tentang pemilihan kak Ani.

"Memang okay sangat sebab bagi saya, ada peluang macam ni saya tak akan lepaskan. Ikutkan, saya tak terfikir nak bekerjasama dengan sesiapa sebab saya fikir masih budak baru lagi," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain