suria

Amyza Aznan bangga anak pemalu berjaya tunjuk bakat, terpaksa tipu ‘Famili Duo’ program suka-suka - “Tak buat rehearsal langsung sebab Adrian tak mahu”

Amyza bangga dan terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh anaknya semasa program Famili Duo.

PERSEMBAHAN bertenaga pelakon Amyza Aznan bersama anaknya, Adrian Adam dalam rancangan Famili Duo yang bersiaran di TV3 pada malam Ahad lalu menerima pujian ramai penonton.

Rata-ratanya tidak menyangka anak lelaki Amyza yang berusia 13 tahun itu memiliki bakat terpendam dan berpeluang cerah mengembangkan bakat nyanyian lebih jauh lagi.

Menyedari komen positif penonton, Amyza berkata pada awalnya Adrian menolak untuk membuat persembahan dalam program tersebut kerana malu berhadapan dengan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah kontroversi, tawaran berlakon Amyza Aznan tak putus - “Rezeki semakin mencurah-curah bak hujan jatuh ke bumi”

Bagaimanapun selepas puas dipujuk, Adrian atau lebih mesra disapa Ian bersetuju untuk turut serta dalam program tersebut.

"Dia agak pemalu, kalau menyanyi pun hanya di rumah sahaja sehinggalah beberapa bulan lepas kami dapat tawaran daripada TV3. Saya beritahu dia ini hanya persembahan nyanyian suka-suka, bukan pertandingan... tapi dia menolak tak mahu.

Penonton puji bakat nyanyian anak Amyza Aznan.

"Selepas bapa dia pujuk, dia bersetuju! Tapi selepas dia menonton episod pertama dia terkejut sebab ada juri... kalau nak tahu sebelum persembahan berlangsung kami tak buat apa-apa latihan sebab dia tak mahu.

"Malah, sebelum program bermula, Ian sempat beritahu saya dia tak nak menyanyi lagi... tapi Alhamdulillah malam itu dia berjaya buat persembahan terbaik sehingga menarik perhatian juri dan penonton," katanya kepada mStar.

Dalam program tersebut, Amyza dan Adrian menyampaikan lagu Ku Bersuara nyanyian asal Ernie Zakri dipilih menjadi juara untuk minggu keempat dan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Selain mereka, empat lagi pasangan anak beranak yang bersaing ialah Fauzi Nawawi bersama anaknya Fareez Fauzi, Amelina dan Puteri, Liza Abdullah dan Naffiz Zolkefli serta Shajiry dan Hafiz.

Saya sebagai ibu akan menyokong apa jua minatnya. Kalau jadi penyanyi pun saya okay asalkan dia tunjukkan semangat dan kesungguhan!

AMYZA AZNAN

PELAKON

Ditanya mengenai hadiah kemenangan yang diterima, Amyza berkata dia memberikan wang tunai itu kepada anaknya.

"Itu hadiah untuk dia, saya kata kemenangan itu adalah hasil kerja keras dia... saya hanya tumpang menyanyi saja.

"Dia berjaya buang malu dan bersemangat menyanyi dengan baik. Itu sudah cukup membanggakan saya.

"Sebenarnya bukan kemenangan yang saya harapkan tapi kenangan dengan anak sepanjang berada dalam program itu... kalau tak ada Famili Duo, tak dapatlah kami berduet atas pentas yang sama," ujarnya.

Amyza beri wang kemenangan kepada anaknya.

Dalam pada itu, Amyza berkata dia sentiasa menyokong minat anaknya itu dan terbuka jika satu hari nanti Adrian memilih untuk melangkah ke bidang seni.

"Sebenarnya saya suka kalau dia terbabit dengan industri ini, malah kawan-kawan dan orang lain pun melihat dia ada bakat dalam bidang seni ini.

"Selepas program ini apabila ramai yang beri kata-kata semangat, dia nampak semakin okay untuk mencuba.

"Saya sebagai ibu akan menyokong apa jua minatnya. Kalau jadi penyanyi pun saya okay asalkan dia tunjukkan semangat dan kesungguhan," ujarnya.

Famili Duo disiarkan setiap Ahad, pukul 9 malam menampilkan pengacara, Uyaina Arshad serta juri tetap Didie Alias dan Mark Adam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain