PENARI dan koreografer popular, Alam Wakaka meluahkan rasa syukur apabila kekosongan hidupnya kini terisi selepas diijab kabul dengan wanita pilihannya Nurul Najwa Hazman pada Ahad lalu. Ujar Alam atau nama sebenarnya, Haslam Abdul Rahman, 35, dia akan membawa isterinya tinggal di rumah yang dibeli sejak tiga tahun lalu di Seremban bersama sembilan ekor kucing peliharaan. ARTIKEL BERKAITAN: Bakal melangkah ke alam perkahwinan, Alam Wakaka bimbang galas tanggungjawab sebagai suami "Alhamdulillah majlis pernikahan saya berjalan lancar. Kalau diikutkan kami merancang untuk disatukan pada 27 Februari tapi disebabkan tiada kekosongan pada hari itu, kami tukar tarikh pada Ahad lalu (7 Mac). "Sekarang rumah saya dah diisi dengan kehadiran seorang isteri, tidaklah saya asyik main dengan kucing sembilan ekor yang saya bela. "Sejak tiga tahun lalu memang saya tinggal seorang lepas dah beli rumah di Seremban, jadinya agak janggal bila ada orang lain dalam rumah tapi saya seronok bila dah ada isteri yang dapat teman saya ke mana-mana. "Sekarang isterilah kena sesuaikan diri dengan kucing-kucing saya yang banyak di rumah tu, tapi nasib baik dia bukan seorang yang penakut dengan kucing," katanya kepada mStar. Alam sedia galas tugas sebagai seorang suami. Pasangan ini dinikahkan dalam majlis sederhana yang dilaksanakan di Pejabat Agama, Segamat, Johor. Sementara itu, Alam berkata, dia merancang untuk mengadakan majlis persandingan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei depan. "Kami memang merancang untuk adakan majlis resepsi, tapi bukan dalam masa terdekat ini sebab kita pun tahu keadaan semasa negara pada ketika ini. Sekarang rumah saya dah diisi dengan kehadiran seorang isteri, tidaklah saya asyik main dengan kucing sembilan ekor yang saya bela. ALAM WAKAKA PENARI / KOREOGRAFER "Mungkin kami akan buat selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Kalau buat pun, kami tidak dapat jemput ramai orang, mungkin ahli keluarga, saudara mara, teman rapat serta pihak media sahaja kami jemput. "Bukan apa, saya takut kena saman kalau ada melanggar mana-mana SOP. Zaman sekarang dah la susah cari duit, kalau boleh elak, baik kita elakkan (kena saman)," katanya. Pasangan ini bertunang pada 1 Ogos tahun lalu. Bercakap tentang cahaya mata, Alam berkata dia dan isteri tidak merancang sebaliknya menyerahkan semua itu kepada rezeki daripada Allah SWT. "Kami memang tidak merancang, kalau ikutkan saya nak lapan orang anak, sebab adik-beradik saya pun lapan orang. Tapi kalau dapat seorang pun, saya dah syukur Alhamdulillah. "Semuanya kami serahkan pada rezeki Allah SWT," ujarnya. Sementara itu, dalam perkembangan seni, Alam kini sibuk terlibat sebagai koreografer untuk penyanyi Shiha Zikir yang akan bertanding dalam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) menerusi lagu 7 Nasihat. "Memang tak sempat lagi nak berbulan madu ke mana-mana sebab Alhamdulillah, tawaran kerja banyak datang waktu ini... mungkin inilah rezeki orang baharu berkahwin. "Tapi nanti memang saya nak curi waktu juga untuk bawa isteri berbulan madu di mana-mana lokasi menarik dalam Malaysia," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!