suria

Art Fazil, Imuda, Andy Flop Poppy seronok redah kesesakan semata-mata rakam MV 'Jam!' - “Semua orang tengok tapi kita buat muka tebal”

Imuda, Art Fazil dan Andy rakam MV Jam! naik trak pusing KL.

BUAT kali ketiga penyanyi Art Fazil bekerjasama dengan pelawak dan pelukis Imuda menerusi lagu terbaharu berjudul Jam! malah bertambah menarik lagi, penyanyi Baba Andy (Andy Flop Poppy) turut serta dalam kolaborasi tersebut.

Menurut Art, sesuai dengan konsep muzik Blues lagu tersebut menyuarakan keluhan tentang kesesakan jalan raya yang sering menghantui penduduk kota secara santai dan berseloroh.

Tambahnya lagi, idea untuk menghasilkan single tersebut juga diambil dari perbualan harian rakan-rakan menetap di ibu kota Kuala Lumpur yang kerap berdepan dengan masalah trafik.

"Lagu ini mendapat ilham dari pengamatan saya tentang keadaan hidup di kota metropolitan Kuala Lumpur. Idea lagu ini juga saya ambil dari perbualan harian rakan yang sering mengeluh tentang keadaan trafik terutama di waktu pagi dan menjelang malam.



Art Fazil gunakan situasi kesesakan jalan raya sebagai ilham untuk cipta lagu.

"Seperti mereka yang harus memandu ke tempat kerja dan tersangkut di lebuhraya kerana padat dengan kenderaan, yang harus hantar anak pergi sekolah, dan juga di waktu cuti umum pada musim perayaan," kata Art Fazil.

Art Fazil turut memberitahu rakaman lagu itu sudah siap sejak 2019 namun terpaksa ditangguh sehingga kini disebabkan dia dan Imuda sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Sebelum ini, Art Fazil dan Imuda pernah bekerjasama mengeluarkan dua karya mereka berjudul Rilek Brader pada 2013 dan Orang Baik Baik pada 2015.

Satu hari suntuk kita menyanyi dan merasai lagu Jam! dalam kesesakan bersama-sama.

IMUDA

PELAWAK & PELUKIS

Dalam pada itu, Imuda berkata mereka juga dapat melalui pengalaman berdepan dengan kesesakan jalan raya sepanjang menjalani penggambaran video muzik (MV) lagu tersebut.

"Masa penggambaran muzik video Jam! memang betul-betul ada ‘jam’. Satu hari suntuk kita menyanyi dan merasai lagu Jam! dalam kesesakan bersama-sama.

"Dengan selambanya kita duduk di belakang kereta keliling satu bandaraya Kuala Lumpur. Seronok orang tengok kita, ada yang ekori kita lagi, semua orang tengok tapi kita buat muka tebal," Imuda berkongsi cerita.



Keseronokan Art Fazil, Andy dan Imuda rakam MV Jam!.

Sementara itu, Andy turut meluahkan rasa teruja dan seronok dapat menjalani penggambaran MV tersebut dengan menaiki sebuah pacuan empat roda mengelilingi kota raya dalam waktu kesesakan lalu lintas.

"Seronok sangat masa penggambaran video, naik trak pick up seharian keliling KL mencari suasana kesesakan. Tak pernah-pernah mencari jam, tapi hari tu kita cari jam.

"Bila berhenti dalam kesesakan, siap ada orang buat permintaan lagu lagi. Tiada sesaat pun yang kita rasa tertekan dalam pembikinan lagu ini, dari rakaman lagu sehinggalah ke penggambaran muzik video," tambah Andy.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain