suria

Miller Khan lamar kekasih naik helikopter, selamat bertunang dengan pereka fesyen

Miller bertunang dengan kekasihnya Farina Rebecca.

SEHARI sebelum adiknya iaitu aktor Isa Khan bernikah dengan aktres Risteena, pelakon Miller Khan yang mencipta nama di Indonesia melangsungkan pertunangan dengan pereka fesyen, Farina Rebecca, 30, pada Khamis.

Miller atau nama sebenarnya, Mohammad Suhaimi Ali Dad Khan berkata, hubungannya terjalin sejak lapan bulan lalu dan bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Miller Khan belum tahu hubungan Isa dan Risteena - “Kalau mereka pilih nak kahwin dan tanggung risiko, baguslah”

"Tarikh bertunang itu berlangsung secara kebetulan. Hari ini adik saya dan Risteena pula bernikah. Mudah juga nak ingat nanti tarikh saya bertunang dekat dengan hari bahagia Isa.

"Segala galanya dipermudahkan untuk saya dan dia. Kalau tiada aral melintang, insya-Allah saya juga akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini," katanya.



Miller rancang kahwin tahun ini.

Sebelum ini, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Asian Academy Creative Awards (AACA) 2020 menerusi drama The Bridge 2 itu melamar cinta hatinya di udara dengan menaiki helikopter sekitar paras ketinggian 1000 kaki.

Pelakon berusia 33 tahun itu juga berkongsi beberapa foto kenangan indah lamarannya di laman Instagram pada Jumaat.

Menurut Miller, majlis tersebut berlangsung dihadiri keluarga dan teman terdekat di sebuah hotel mewah di Jakarta, Indonesia.

Dalam pada itu, Miller yang sudah 14 tahun melebarkan sayap di Indonesia menyenangi tunangnya yang sangat berdikari.

"Malah hati dia tulus dan cantik seadanya. Dia juga pandai mengambil hati saya. Paling utama dia menyayangi saya, ” ujarnya.

Biarpun kini berada berjauhan dengan adiknya, namun Miller tetap mendoakan kebahagiaan Isa dan Risteena yang melangsungkan pernikahan di Masjid Tunku Sultan Mizan Abidin, Putrajaya pada pagi, Jumaat.

"Semoga dia dapat menjadi imam yang baik untuk isterinya. Risteena juga kena tolong saya menjaga dia dengan baik. Nanti kalau ada ruang dan peluang, saya akan bertemu mereka, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain