suria

[VIDEO] Siapa juara AJL35? 7 Nasihat, Gila dan Peluang Kedua antara yang diramal... Ernie Zakri, Aina Abdul pula berentap trofi Vokal Terbaik!

DEBARAN kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-35 yang akan berlangsung pada malam ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam semakin hangat dirasai.

Tahun lalu kita menyaksikan lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel diangkat sebagai juara AJL34 mengenepikan saingan terdekatnya Bangun ciptaan Aman Ra dan Anta Permana karya Hael Husaini dan Ezra Kong.

Namun, lagu mana yang akan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu kali ke-35? Pastinya ia lagu terbaik yang telah dinilai daripada pelbagai aspek oleh barisan juri profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Gila' diramal berpotensi menang AJL 35, Kaka Azraff tak tertekan - “Saya hanya nak enjoy sahaja masa final itu nanti”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Finalis AJL35 lakukan swab test, Aishah takut sakit sampai rasa nak lari - “Tiada cara lain ke? Nak tak nak nampaknya terpaksa buat”

Kami senaraikan empat lagu pilihan yang diramal bakal memberi saingan dalam merebut gelaran juara AJL35.

1. 7 Nasihat

Lagu ciptaan sepenuhnya Luca Sickta berjudul 7 Nasihat mempunyai kelainan apabila ia mengetengahkan genre hip hop yang digabungkan dengan puisi yang sarat nilai kemelayuan.

Lagu tersebut akan dinyanyikan oleh Luca Sickta, Kmy Kmo dan Shiha Zikir yang menggantikan penyanyi asal iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas AJL35.

Melihat bait-bait lirik yang dihasilkan Luka Sickta itu turut sarat mesej teguran dan memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan.



Hael dan Nabila mungkin akan memberikan kejutan di pentas AJL35.

2. Peluang Kedua

Lagu Peluang Kedua ciptaan Hael Husaini dan MFMF boleh dikatakan lagu berhantu dan mencipta fenomena pada tahun lalu.

Melodinya segar dan menyentuh perasaan sesiapa sahaja yang mendengar.

Selain itu, lirik lagu ini juga disampaikan dengan mudah dan cepat melekat di kepala biarpun pertama kali mendengarnya.

Lagu nyanyian Nabila Razali ini dilihat antara yang berpotensi besar sebagai juara pada malam kemuncak AJL35.

3. Gila

Tidak kurang hebatnya, lagu Gila ciptaan bersama Noki, Loca B dan Ezra Kong ini mempunyai kelainan dari segi susunan muzik, ia memberi cita rasa urban namun mengikut trend muzik terkini.

Lirik lagu ini pula membawa mesej berat tentang kekalutan yang membelenggu minda dan jiwa berdepan ujian kehidupan seseorang.

Bukan sekadar hiburan biasa, lagu ini menggambarkan masyarakat kita yang dihimpit pelbagai masalah hidup ketika pandemik Covid-19.



Zizi bakal mempersembahkan lagu EH pada malam AJL35.

4. EH

Tidak boleh dipandang remeh, lagu Eh nyanyian Zizi Kirana dilihat mempunyai kekuatan dari segi lirik yang penuh sindiran sesuai dengan situasi masyarakat hari ini.

Lagu ciptaan Navigator dan Zizi ini berkisarkan mesej kepada netizen di laman sosial yang cepat menghukum sesuatu perkara tanpa berfikir panjang. Lirik yang ditulis oleh Mambang ini juga lebih berterus terang dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami.

Dari sudut melodi lagu ini disuntik melodi tradisional dengan gabungan dari kumpulan muzik Darmas.



Ernie dan Aina diramal bakal pemenang Vokal Terbaik.

Manakala, untuk kategori Vokal Terbaik bakal menyaksikan pertarungan penyanyi Ernie Zakri atau Aina Abdul yang pasti membuatkan penonton meremang.

Erni akan menyampaikan lagu Gundah, manakala Aina mempertaruhkan lagu ciptaannya Semalam yang mana kedua-dua lagu bakal menguji kemampuan vokal masing-masing.

Selain itu, penyanyi Azlan & The Typewriter yang bakal mempersembahkan lagu Jangan Khianati Aku juga berpotensi membawa balik trofi Vokal Terbaik yang sebelum ini dimenangi oleh Hafiz Suip.

Bagi persembahan terbaik pula, pasti kita menjangkakan persembahan kreatif 12 finalis pada malam ini nanti, namun kumpulan Floor88 menerusi lagu Hutang antara persembahan yang ditunggu-tunggu.

Lagu yang bertenaga dan mempunyai aura tersendiri ini pastinya mempunyai potensi besar membawa pulang trofi persembahan terbaik,



Awal, Sherry dan Haziq bertanggungjawab sebagai hos AJL35.

Malam kemuncak AJL35 akan dikendalikan pengacara Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni dan disiarkan secara langsung di TV3, pukul 9 malam, Ahad.

12 lagu akan bertanding iaitu Semalam nyanyian Aina Abdul, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta), Belenggu Rindu (Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah), Peluang Kedua (Nabila Razali) dan Hati (Hael Husaini).

Selain itu, Hutang (Floor 88), Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B), Eh (Zizi Kirana), Kau Sakiti (Amir Masdi), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Gundah (Ernie Zakri) dan Aku Bidadari Syurgamu (Aishah).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain