EMPAT tahun berjaya membuat ramalan dengan tepat, kali ini pengacara Neelofa Mohd Noor sekali lagi meletakkan tiga lagu yang dijangka memenangi Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang berlangsung malam Ahad. Menerusi laman Twitter, Neelofa, 32, meramalkan trofi AJL35 tahun ini bakal diungguli lagu Semalam nyanyian dan ciptaan sepenuhya oleh Aina Abdul. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga tahun ramalan tepat, kali ini Neelofa jangka Sumpah (Naim Daniel) menang AJL34 Usahawan itu juga meramalkan Aina Abdul dan vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter, Azlan Rosle berpotensi besar memenangi trofi Vokal Terbaik. "Saya tak berapa ikut sangat dengan lagu-lagu yang bertanding untuk tahun ini. Tapi ini merupakan ramalan saya untuk AJL35. "Juara, Semalam, tempat kedua, Peluang Kedua (Nabila Razali) dan tempat ketiga, Belenggu Rindu (lagu duet Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah)," tulisnya di laman Twitter pada Ahad. Ramalan Neelofa mengenai pemenang AJL35. Bagaimanapun, Neelofa mengingatkan pengikutnya bahawa lagu yang dipilih itu hanya sekadar ramalan semata-mata. Ia mungkin tidak mengena dan tersasar daripada keputusan yang bakal diumumkan malam Ahad. Juara, Semalam, tempat kedua, Peluang Kedua (Nabila Razali) dan tempat ketiga, Belenggu Rindu (lagu duet Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah). NEELOFA PENGACARA, USAHAWAN Bekas pengacara program MeleTOP ini juga mengharapkan peminat muzik tempatan menghargai hasil karya kreatif pencipta lagu dan penulis lirik. "Ini hanya ramalan saya sahaja, mungkin ada yang tidak mengena. Apa-apa pun, selamat berhibur dengan AJL35, majlis anugerah yang sentiasa mengiktiraf hasil kerja komposer dan penulis lirik," katanya. Tahun lalu, lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel menepati ramalan apabila diumum sebagai juara AJL edisi ke-34. Selain Aina Abdul, Neelofa turut meramalkan Azlan Rosle bakal memenangi trofi Vokal Terbaik. Sebanyak 12 buah lagu bakal bersaing pada malam ini iaitu Semalam nyanyian Aina Abdul, Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B), Hutang (Floor88), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Kau Sakiti (Amir Masdi) dan Belenggu Rindu (Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah). Turut bertanding, Gundah (Ernie Zakri), Eh (Zizi Kirana), Peluang Kedua (Nabila Razali), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Hati (Hael Husaini) dan 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta). AJL35 akan bersiaran langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam tanpa kehadiran penonton serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Acara itu akan dihoskan trio pengacara, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!