PENYANYI Zizi Kirana meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka lagu nyanyiannya berjudul Eh diangkat sebagai pemenang persembahan terbaik pada malam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang bersiaran pada Ahad lalu. Semasa pengumuman pemenang itu, Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil berkata dia sedang khusyuk berbual dan tidak percaya apabila namanya disebut oleh pengacara. "Memang terkejut! Macam tak percaya... semasa pengumuman pemenang itu, saya sedang berborak dengan Altimet dan Navigator mengenai perancangan lagu selepas ini. ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul tewas Vokal Terbaik di tangan Ernie Zakri... Lagu ‘Gila’ julang trofi AJL35 "Apabila rakan artis lain jerit nama saya, saya terus bangun berlari ke pentas... macam tak percaya menang persembahan terbaik kerana semua finalis malam itu tampil dengan pelbagai idea menarik. "Alhamdulillah, saya anggap ini rezeki selepas lebih 10 tahun berada dalam industri. Dapat jejak kaki di pentas AJL pun dah satu rahmat dan memang saya bersyukur sangat-sangat," katanya kepada mStar. Zizi Kirana tak letak harapan tinggi untuk menang di AJL35. Pada Ahad lalu, lagu Eh ciptaan Zizi Kirana bersama Mambang dan Navigator itu diumumkan sebagai pemenang persembahan terbaik AJL35. Dalam pada itu, Zizi berkata idea persembahan pada malam itu hasil perbincangan dia bersama pasukannya sejak sekian lama lagi. "Sejak dulu lagi saya dah pasang niat kalau masuk AJL saya nak buat persembahan dengan konsep nusantara hip hop seperti itu. Saya tak mahu fikir apa kata netizen yang menonton. Saya hanya mahu enjoy dan buat yang terbaik! ZIZI KIRANA PENYANYI "Siapa lagi nak angkat budaya tradisional kita? Memandangkan lagu itu sesuai dengan konsep dan idea, jadi saya rasa inilah masa terbaik untuk merealisasikan impian tersebut. "Kita selitkan eleman budaya Jawa dan Melayu di nusantara. Kalau nak tahu... 10 tahun dulu saya pernah minta pereka fesyen iaitu Shanell Harun untuk buat baju kalau saya masuk AJL, Alhamdulillah rezeki tiba tahun ini dan dia la yang hasilkan baju saya pada malam itu," katanya. Pertama kali menjejakkan kaki di pentas anugerah berprestij itu, Zizi berkata dia turut dihantui perasaan gementar, lebih-lebih lagi menjadi penyanyi pertama yang membuat persembahan. Zizi mahu angkat budaya nusantara dalam persembahannya di AJL35. "Sepatutnya saya buat persembahan kelima, tapi atas sebab tertentu saya ditukar jadi orang pertama... Ya Allah masa itu rasa takut sangat sebab memikirkan jangkaan juri dan penonton. "Tapi saya cuba kawal emosi! Memikirkan peluang ini hanya datang sekali, saya jadi bersemangat semula. Saya tak mahu fikir apa kata netizen yang menonton. Saya hanya mahu enjoy dan buat yang terbaik!” katanya. AJL35 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam menyaksikan lagu Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki dan Loca B diangkat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi. Naib juara dimenangi lagu ciptaan dan nyanyian Aina Abdul berjudul Semalam dan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong berjudul Belenggu Rindu yang dinyanyikan oleh Datuk Jamal Abdillah bergandingan dengan Wany Hasrita di tempat ketiga. AJL35 dihoskan oleh Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!