PENYANYI Wany Hasrita mengakui pengalaman membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu yang ke-32 pada 2018 menerusi lagu Menahan Rindu bukan satu kenangan yang indah buat dirinya. Selepas dua tahun belajar memperbaiki kelemahannya, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah akhirnya berjaya membuktikan kemampuan apabila berjaya melakukan persembahan terbaik di pentas AJL35 pada Ahad lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Wany Hasrita jadi takut, fobia menyanyi 'live' dalam program TV Bukan sahaja membuat persiapan yang lebih teratur, penyanyi berusia 29 tahun ini juga bekerja keras untuk mempertingkatkan mutu vokalnya demi menyanyi bersama penyanyi legenda terkenal Datuk Jamal Abdillah di pentas berprestij itu. Wany perlu lebih bekerja keras untuk bergandingan dengan Jamal Abdillah. "Saya tak sasarkan untuk menang pun sebab memang nak buat terbaik. Pengalaman sebelum ini bukan kenangan yang terindah. Dua tahun saya belajar untuk memperbaiki kelemahan. "Kita belajar daripada pengalaman... masa saya buat persembahan di pentas AJL32, mungkin tak buat persediaan dengan penuh. Tapi kali ini, kita dah tahu apa nak buat, kena ada apa dan perancangan macam mana. "Jadi, kali ini lebih teratur. Selain itu, sudah tentu dari segi vokal, saya kena lebih mempertikatkan dan perbaiki kelemahan saya. Sebab saya duet dengan Datuk Jamal... tak akan saya nak menyanyi begitu saja. Ikutkan perancangan kami begitu la... tapi terpaksa kami akur dengan SOP yang sudah ditetapkan. WANY HASRITA PENYANYI "Kerja keras itu kena datang daripada saya sebab bagi saya, Datuk Jamal setuju nak bekerjasama dengan saya dalam lagu itu pun sudah cukup buat saya. Jadi, saya kena usaha lebih supaya sekurang-kurangnya nyanyian kena sama dengan beliau," katanya kepada mStar. Sebelum ini, Wany yang menyampaikan lagu Menahan Rindu di AJL32 menerima kritikan dan kecaman daripada netizen sehingga menyebabkan dia hilang keyakinan untuk membuat persembahan secara langsung di televisyen. Bagaimanapun, Wany kembali bangkit dan lagu duetnya bersama Jamal Abdillah berjudul Belenggu Rindu ciptaan komposer Hael Husaini serta Ezra Kong itu berjaya merangkul tempat ketiga AJL35 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam tanpa penonton pada Ahad lalu. Wany bersama team yang merealisasikan impiannya untuk berduet dengan Jamal. Dalam pada itu, penyanyi lagu Canggung ini turut berkongsi mengenai konsep persembahan mereka di AJL35 yang sepatutnya mempunyai 20 orang penari atau pengiring latar. Enggan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan, mereka menukar perancangan namun masih mengekalkan konsep yang sama dengan kelihatan lebih kemas dan cantik. "Sepatutnya perancangan untuk konsep persembahan pada malam itu, Datuk Jamal akan datang bersama 10 orang pengiring untuk bertemu dengan saya. Begitu juga saya yang ditemani dengan 10 orang pengiring juga. "Ikutkan perancangan kami begitu la... tapi terpaksa kami akur dengan SOP yang sudah ditetapkan. Sepatutnya ramai pengiring, kami kecilkan sedikit... masih mengekalkan konsep itu dan nampak cantik serta kemas di TV," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!