suria

Individu minta bantuan beli barang bayi, Nina Iskandar hampir masuk perangkap ‘scammer’

Nina Iskandar mengingatkan peminatnya agar sentiasa berwaspada dengan penipuan scammers.

PELAKON Nina Iskandar meluahkan rasa bengang dengan tindakan segelintir pihak yang tergamak menipu untuk mendapatkan bantuan dengan cara mudah.

Menerusi perkongsian di laman Instagram Story, Nina atau nama sebenar, Nur Akmalina Iskandar, 30, memaparkan perbualannya dengan seorang wanita yang ingin memohon bantuan untuk membeli barang keperluan anak-anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bagi makan pun kena tegur... Nina Iskandar rimas netizen masuk campur cara besarkan Rizqin - “Dia anak saya, awak jaga awak punya okay”

Enggan tertipu, aktres kelahiran Brunei itu kemudiannya meminta wanita itu mengemukakan bukti salinan kad pengenalan namun individu berkenaan gagal berbuat demikian.

"Dunia ini ada macam-macam jenis manusia... macam-macam taktik scammers, malah ada yang tak terjangkau dek akal kita.

"Kita ni pun kena juga berhati-hati pada setiap masa. Nak bantu orang terutama dalam talian, sila berjaga-jaga, jangan bantu orang tanpa berfikir, takut kita pula yang terkena.

Luahan Nina di Instagram.

"Kepada sesiapa yang selalu minta bantuan, tolong belajar meminta dengan cara yang betul, dengan adab yang betul. Bila anda terlalu mendesak, ia membuatkan orang takut nak membantu," katanya.

Menurut Nina, dia bukan tidak mahu membantu sebaliknya terpaksa lebih berhati-hati berikutan pernah mengalami pengalaman ditipu bekas pembantu peribadi.

(Dalam meminta bantuan) yang paling penting, jujur... Jika anda tidak jujur then bye bye. Memang saya akan tawar hati.

NINA ISKANDAR

PELAKON

Kejadian yang berlaku terhadapnya membuatkan dia tidak dapat meletakkan kepercayaan kepada sesiapa pun terutama orang tidak dikenali.

"(Dalam meminta bantuan) yang paling penting, jujur... Jika anda tidak jujur then bye bye. Memang saya akan tawar hati.

Nina berkongsikan perbualannya dengan wanita tersebut.

"Bekerja dengan bekas pembantu peribadi yang tidak jujur, saya memang terus pecat dia... apatah lagi orang asing yang minta bantuan tapi tidak jujur.

"Saya minta maaf sekali lagi, saya ada sebab tersendiri kenapa minta maklumat terperinci mengenai mereka. Ini kerana saya pernah ada pengalaman terkena dengan scammers dan disebabkan itu saya sangat berjaga-jaga," katanya.

Isteri kepada penolong pengarah, Mohd Azlan Adzanan itu juga menitipkan pesan buat semua pengikutnya agar sentiasa beringat dalam segala perkara yang dilakukan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain