suria

Rosakkan fosil Gua Matsoorat semasa penggambaran ‘Angkara Cinta’, Michael Ang akan cari siapa pelaku

Michael Ang kesal dengan insiden yang berlaku di Gua Mat Surat dan akan cari pelaku.

KECOH media sosial apabila seorang pengguna Facebook mendakwa produksi drama Angkara Cinta telah melakukan kerosakan pada dinding sebuah gua semasa penggambaran drama itu, baru-baru ini.

Dakwa individu itu lagi, pihak produksi menjalankan penggambaran di tapak bersejarah tersebut tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Tampil selaku pengarah, Michael Ang mengakui kesal dengan insiden berkenaan dan sedang mengesan individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh langgar SOP buat penggambaran drama ‘outdoor’, Michael Ang tampil tunjuk bukti! - “Kau yang busuk hati tu pergi cari rezeki yang halal”

Dia bagaimanapun menafikan dakwaan produksi menjalankan penggambaran tanpa permit kebenaran seperti ditulis pengguna Facebook berkenaan.

"Berhubung insiden di Gua Mat Surat, Ipoh. Saya ingin memaklumkan kami menerima kebenaran daripada Majlis Bandaraya Ipoh untuk menjalankan penggambaran.



Michael Ang beri penjelasan di Instagram.

"Mengenai lukisan grafiti itu, kami kesal salah seorang kru melakukan itu, kita sedang menyiasat dan mencari individu berkenaan... kami akan memberi kerjasama penuh kepada Majlis Pembandaran Ipoh berhubung isu ini.

"Sebagai produksi kami kesal dengan apa yang berlaku... susah nak mengajar orang bodoh untuk menjadi bijak dan bertanggungjawab," katanya.

Michael mengulas mengenai isu tersebut menerusi Instagram pada Jumaat.



Pengarah Eksekutif Rymba Management & Leisure Sdn. Bhd. (Rymba Management), Megat Mohd. Shahrin Mohd. Hamdan memuat naik foto di laman Facebook.

Sebelum itu, seorang pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakkan di dinding sebuah gua yang terletak di Taman Negeri Perak itu selepas penggambaran sebuah drama popular.

Menurut pemilik akaun dikenali Megat Mohd Shahrin, kru produksi juga telah membuang sampah merata-rata selain menjalani penggambaran tanpa permit yang sah daripada pihak berwajib.

Dia turut berkongsi beberapa keping foto kerosakan di tempat bersejarah itu termasuklah ukiran nama tajuk drama Angkara Cinta yang diconteng di dinding gua.



Michael Ang sedang mengesan individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Sementara itu, sebuah syarikat produksi drama mengaku bertanggungjawab merosakkan fosil berusia jutaan tahun di Gua Matsoorat berhampiran Gunung Lang termasuk bahagian dinding gua semasa menjalankan penggambaran.

Wakil syarikat itu juga telah berjumpa dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berhubung perkara tersebut dan bersedia menanggung kos untuk membaiki kerosakan yang telah dilakukan.

Drama Angkara Cinta dibintangi oleh Hun Haqeem, Wanna Ali, Meerqeen, Yuna Rahim, Syazwan Zulkifly, Azhar Amir, Alif Muhaimin dan Nina Juren.

Ia ditayangkan di Astro Prima pukul 6 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain