suria

Dah lama pasang niat… akhirnya VE muncul dengan ‘Tunggu’ selepas 13 tahun menyepi

VE mahu bergerak aktif dalam industri muzik tahun ini.

SELEPAS 13 tahun menyepi, akhirnya kumpulan Voices of Euphonious (VE) tampil dengan lagu baharu bagi mengubat kerinduan peminat terhadap mereka.

Bergerak bersama dua ahli baharu iaitu Adeep Nahar dan Luqman Hakim, Ketua kumpulan VE iaitu Zafri Nazarudin atau Zaf berkata mereka sudah merangka perancangan untuk kembali aktif dalam industri muzik tanah air sejak tahun lalu.

Namun, kekangan komitmen setiap anggotanya ditambah dengan penularan wabak Covid-19 menyebabkan hasrat itu tergendala.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan disingkirkan, VE hanya beri ruang Damian Mikhail selesaikan hal peribadi - “Situasi yang dihadapinya melambatkan pergerakan kumpulan”

"Kami sudah lama rindu untuk menyanyi lagi. Niat untuk masuk semula ke dalam industri memang sudah lama dirancang.

"Tetapi disebabkan kesibukkan anggotai VE dengan pelbagai komitmen, hasrat itu beberapa kali tertangguh.

"Kami yakin kehadiran Adeep dan Luqman dapat menyatukan suara kami walaupun jauh berbeza daripada VE yang dulu. Namun kami berharap, peminat setia VE dapat menerima barisan baru kami," katanya.

Lagu ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan... bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran klip video!

ZAF

KETUA KUMPULAN VE

Pada awal Februari lalu, VE mengumumkan pengunduran dua ahli iaitu Damian dan Shah.

Dengan pengunduran Damian dan Shah, perjuangan kumpulan yang popular dengan lagu Party Like This dan Pop Yeh Yeh akan diteruskan empat anggota lain iaitu Zaf, Cham, Adeep dan Hakim.

Bercakap mengenai single baharu berjudul Tunggu, Zaf berkata lagu itu merupakan simbolik penantian kumpulan itu yang mengampil tempoh lebih sedekad untuk membuat kemunculan semula.

Damian dan Shah undur diri daripada VE. Dalam gambar dari kiri; Shah, Damian, Hakim, Zaf, Cham dan Adeep.

"Lagu Tunggu mengisahkan mengenai kisah di antara anak dan ibu. Di mana kami ingin mengingatkan peminat supaya menghargai setiap detik bersama orang yang kita sayangi.

"Lagu ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan... bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran klip video.

"Alhamdulillan proses menyiapkan lagu sangat laju dan lancar tetapi kami mengambil masa sedikit lama untuk latihan memandangkan ini lagu pertama VE dengan barisan anggota yang baru jadi kami perlu mengenali keupayaan dan keserasian masing-masing. Video muzik lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu hari saja dengan pertolongan Team Osh," ujarnya.

Lagu Tunggu ciptaan Zaf, Mulah, Dj Uno dan Aj PopShuvit, manakala liriknya dihasilkan Mulah, Zaf dan Cham.

Kali terakhir kumpulan itu menerbitkan lagu ialah pada 2006 menerusi Ikhlas Tapi Jauh.

Tunggu boleh didengari di semua platform digital dan YouTube Universal Music Malaysia bermula Jumaat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain