suria

Bekas penyampai radio Subi meninggal dunia akibat komplikasi dalam perut

Subi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang, petang Selasa.

TANGGAL 1 Ramadan membawa khabar duka bekas penyampai radio Suria FM, Subi menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.32 petang Selasa, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor.

Isterinya, Aishah Saironi, 58, memaklumkan Allahyarham meninggal dunia disebabkan masalah komplikasi di bahagian perut selepas menjalani pembedahan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Konon nak pusing satu round, tapi terpanjat divider!” - Bekas penyampai radio Subi cerita bagaimana terlibat kemalangan

Katanya, kesihatan arwah Subi atau nama sebenarnya Subarma Mokhtaruddin, 56, mula merosot sejak Ahad lalu dan dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Elok masa arwah pergi sebaik azan Zohor (berkumandang) dan di bulan Ramadan mulia ini... saya berada di sisinya dan sempat ajar arwah mengucap.

"Sebenarnya, arwah dari hari Ahad hari itu dia mengadu sakit di bahagian perut dan petang semalam (Isnin) saya bawa dia pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan selepas muntah-muntah.

Kunjungan team Suria FM melawat Subi di kediamannya pada Disember tahun lalu.

"Saya pun tak sangka yang dia meninggal dunia disebabkan ada masalah dalam bahagian usus dia, selama ini pun dia sakit sebab kesan daripada kemalangan jalan raya sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar.

Jenazah Subi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dengkil pada petang Selasa selepas selesai urusan di hospital.

Elok masa arwah pergi sebaik azan Zohor (berkumandang) dan di bulan Ramadan mulia ini.

AISHAH SAIRONI

ISTERI SUBI

"Kalau boleh memang nak segerakan urusan pengebumian arwah pada hari ini juga, saya tunggu sehingga semua urusan pelepasan jenazah selesai di hospital dulu.

"Sekarang ini hanya saya yang berada di hospital manakala anak-anak di rumah (menanti ketibaan jenazah)," katanya.

Subi sebelum ini pernah mengalami kemalangan jalan raya dan terbabas ketika dalam perjalanan dari Cyberjaya untuk pulang ke rumah di Dengkil pada Ogos tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak, Nor Adibah, 24, dan Muhammad Yusuf, 19 tahun.

Subi memulakan kerjayanya sebagai seorang penyampai radio sejak 23 tahun tahun lalu. Allahyarham pernah berkhidmat di stesen radio Era dari tahun 1998 hingga 2004, Sinar (2004 - 2008) dan Suria (2008 - 2017) sebelum menyandang jawatan terakhir sebagai Pengurus Besar Rancangan Suria berkuatkuasa pada 7 Jun 2016.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain