suria

Pelakon diingat hati-hati terima tawaran, jangan beri alasan tiada 'job'!

18 pelakon iklan raya judi sudah ditahan polis.

PENGGIAT seni diingatkan agar lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran berlakon bagi mengelakkan dieksploitasi untuk tujuan judi dan jenayah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, industri seni negara ketika ini tidak kekeringan tawaran kerja sama ada untuk drama, filem dan sebagainya terutama sejak awal Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Upah RM20 lebih mahal... 4 pelakon MV judi raya dicekup, terima bayaran RM200 seorang

"Memang mula-mula penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu tidak ada sebarang penggambaran atau persembahan dibenarkan.

"Tapi sejak awal tahun ini, banyak tawaran kerja sudah mula keluar sebagai contoh sekarang ada program nyanyian dari rumah dan sebagainya.

"Aktiviti penggambaran juga banyak dan kita juga sentiasa jaga kebajikan artis sebab itu ada program ziarah Finas," katanya seperti dipetik Sinar Harian.



Video iklan raya judi kedua yang tular sejak Sabtu.

Terdahulu, dua video mempromosikan judi itu tular di media sosial masing-masing pada Jumaat dan Sabtu hingga ia mencetuskan kegusaran awam.

Siasatan yang dilakukan terhadap dua video itu juga membawa kepada 13 tangkapan membabitkan sembilan tangkapan bagi kes pertama dan empat tangkapan bagi kes kedua yang melibatkan pelakon, penerbit dan kru.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosikan perjudian.

Aktiviti penggambaran juga banyak dan kita juga sentiasa jaga kebajikan artis sebab itu ada program ziarah.

Datuk Saifuddin Abdullah

Menteri Komunikasi dan Multimedia

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihak polis kini sedang membuat siasatan menyeluruh terhadap kes itu.

Menurutnya, video berunsur judi yang tular itu bukan sahaja mengganggu ketenangan umat Islam yang berpuasa malahan orang bukan Islam.

Justeru katanya, kerajaan tidak mahu selepas ini perkara sama berlaku pada perayaan lain seperti semasa Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas.

"Rakyat Malaysia berpegang kepada rukun negara termasuk prinsip kepercayaan kepada tuhan.

"Mereka faham tentang unsur judi ini dan tak mahu perkara ini tular di media sosial," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain