suria

Peniaga burger tak sangka Neelofa nak tolong, PU Azman juga tanya khabar - “Tapi kami tak mahu terima lagi”

Buat masa ini Mohd Faisal masih menanti keputusan rayuan yang dibuat kepada KKM.

PENIAGA burger yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menyangka selebriti Neelofa sudi menghulurkan bantuan ketika dia dan keluarganya berdepan ujian.

Menurut isteri kepada peniaga berkenaan, Norlaili Shasii, 36, selain Neelofa yang tampil menawarkan bantuan, mereka turut dihubungi pendakwah bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Azman.

"Peguam Neelofa ada call petang semalam, dia tanya tentang jumlah kompaun dan cara nak bantu selesaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Ya Allah ramainya bersangka tidak baik” - Neelofa terkejut dituduh sindir penjual burger dikompaun RM50,000

ARTIKEL BERKAITAN: “Hukuman terlalu tinggi...” - Ismail Sabri anggap kompaun RM50,000 terhadap peniaga burger tak patut

"Begitu juga dengan PU Azman, dia sendiri hubungi saya menyatakan hasrat nak tolong," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

TONTON VIDEO PENJELASAN NEELOFA



Neelofa dikecam kerana didakwa menyindir peniaga burger.

Pada Selasa Neelofa atau Neelofa Mohd Noor, 32, menerusi perkongsian di Instagram berkata dia sedia membantu peniaga berkenaan selepas dia dan keluarganya juga dikompaun atas dua kesalahan berjumlah RM60,000.

Isu bantuan itu muncul selepas isteri kepada Haris Ismail, 26, itu teruk dikecam kerana memuat naik gambar burger dengan kapsyen "moreh burger malam ni meh".

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagaimanapun menurut Norlaili, dia dan suaminya Mohd Faisal Wan Kadir, 37, tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak bagi melunaskan kompaun berkenaan.



Perniagaan burger ini merupakan mata pencarian utama mereka sekeluarga.

Ujar Norlaili mereka masih menunggu keputusan rayuan yang dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Kota Bharu.

"Memang ramai yang nak bantu, tapi buat masa ni kami tak mahu terima lagi.

"Selagi belum dapat keputusan rayuan, kami pun tak tahu berapa jumlah yang perlu dibayar.

"Pihak KKM kata mungkin dapat pengurangan atau pengecualian... jadi lebih baik tunggu dulu," katanya.

Setakat RM1,000 tu... insyaAllah kami boleh bayar sendiri.

NORLAILI SHASII

PENIAGA BURGER

Berhubung sama ada dia sedia menghubungi semula wakil Neelofa atau PU Azman sekiranya tidak mampu membayar kompaun itu nanti, Norlaili berkata dia tidak keberatan untuk berbuat demikian.

"Kalau tak mampu, apa salahnya kami terima bantuan tu.

"Setakat RM1,000 tu... insyaAllah kami boleh bayar sendiri," katanya.

Dalam pada itu bercerita tentang perniagaan, Norlali berkata buat masa ini dia dan suaminya masih berdepan tekanan.

Cerita Norlaili, dia dan suami masih trauma untuk kembali berniaga kerana takut insiden yang sama berulang.



Mohd Faisal dan isterinya hanya membuka pernigaan di depan rumah.

"Sejak dikompaun Ahad lalu, kami tak berani nak berniaga lagi... masih stress.

"Tak ada kekuatan lagi buat masa ni," katanya sambil memaklumkan perniagaan burger adalah punca rezeki utama keluarganya.

Pada Isnin Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengesahkan pihaknya mengeluarkan kompaun RM50,000 kepada Mohd Faisal yang membuka gerai di hadapan rumahnya di Jalan Panji, Kota Bharu.

Mohd Faisal didapati melanggar SOP PKP yang dikuatkuasakan di Kelantan ketika ini.

Polis bertindak selepas menerima aduan penduduk kampung bahawa peniaga itu sering berniaga melebihi masa dibenarkan iaitu pukul 10 malam ke atas dengan ramai pelanggan didapati duduk dan makan di situ.

Kelantan ketika ini dalam tempoh PKP sehingga 29 April ini, susulan kes positif Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain