suria

Selepas 10 tahun, Waris dapat idea ‘Rembau Most Wanted Part II’... kali ini muncul bersama Nabil Ahmad depan kubur

Waris menampilkan Nabil Ahmad dalam muzik video Rembau Most Wanted Part 2.

SETELAH lebih 10 tahun, akhirnya penyanyi rap Waris kini tampil dengan single terbaharu Rembau Most Wanted Part II sebagai kesinambungan lagu Rembau Most Wanted yang dilancar pada 2010.

Menurut Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias, 32, Rembau Most Wanted Part 2 mengajak peminat untuk kembali kepada kehidupan fitrah manusia lebih-lebih bila negara kini sedang diuji dengan penularan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lama menyepi... Waris akui tiada permintaan untuk kembali dalam industri seni - “Biar mereka tentukan saya patut comeback atau tak”

"Lagu Rembau Most Wanted Part 2 saya buat ketika kita sedang dalam PKP 1.0 dulu. Masa itu memang tiada apa nak buat terus saya dapat idea untuk buat lagu.

"Lagu ini menceritakan kita agar kembali semula ke kehidupan fitrah iaitu kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah... lebih-lebih dalam keadaan kita sekarang berdepan bencana wabak.

Waris cipta lagu Rembau Most Wanted Part 2 semasa PKP 1.0.

"Macam saya sekarang pun dah kembali hidup kepada kehidupan asas, tidak perlu bermewah-mewah untuk hidup. Itu antara maksud yang cuba disampaikan saya menerusi lagu ini," katanya ketika dihubungi mStar.

Menariknya, video ini turut menampilkan penampilan istimewa pengacara Nabil Ahmad yang sudah berhijrah ke arah lebih baik.

"Memang saya ajak Nabil untuk sama-sama terlibat dalam muzik video ini dan babak dengan dia pun di hujung lagu di kawasan perkuburan.

Lagu ini menceritakan kita agar kembali semula ke kehidupan fitrah iaitu kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

WARIS

PENYANYI

"Ia sebagai simbolik kita jangan takut mati sebab kematian itu pasti... secara asasnya lagu ini nak mengajak semua agar sentiasa mengingati kematian sebab kita memang sudah berada di akhir zaman.

"Pandemik Covid-19 memang buat banyak orang susah hati dalam keadaan sekarang tapi kalau kita kembali kepada ajaran agama apa yang disarankan kerajaan untuk jangan keluar itu betul, dalam hadis sendiri cakap kalau wabak di kawasan itu jangan kita keluar," katanya yang merakamkan muzik video untuk Rembau Most Wanted Part II pada awal tahun ini.

Rembau Most Wanted Part 2 merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Waris dan muzik video yang dilancarkan bulan lalu sudah meraih lebih 380,000 tontonan.

Waris bersama isteri dan dua anak mereka.

Menceritakan adakah pendapatannya terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijalankan, Waris berkata dia tidak mempunyai masalah daripada segi itu.

"Kalau nak diceritakan saya terkesan bukan daripada segi pendapatan... tetapi lebih kepada kerohanian sebab kita terkurung tak boleh keluar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Tapi inilah masa untuk kita reflek kembali kehidupan terdahulu, ia buatkan saya lebih banyak dekat kepada Allah dengan baca buku-buku berkaitan agama.

"Alhamdulillah daripada segi pendapatan tidak berapa terasa sebab sejak lima tahun lalu, memang saya dah tinggalkan kehidupan material ini semua... sekarang saya, isteri dan anak-anak hanya menjalani kehidupan serba asas dan sederhana sahaja," katanya lagi yang kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain