suria

Siti Sarah sedekah senyap-senyap, bantu bekas wartawan ‘sesak’ hilang kerja - “Dia masukkan ribuan ringgit... minta pengurus rahsiakan”

Siti Sarah suka bersedekah sepanjang hayatnya.

PEMERGIAN Siti Sarah Raisuddin membuka 1,001 kisah mengenai kebaikan Allahyarham yang selama ini mungkin tidak diketahui ramai.

Siti Sarah sebenarnya suka bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan. Ini terbukti selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin, satu persatu kebaikan beliau dikongsi ramai.

Malah, amalan baik dilakukannya itu umpama tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui. Beliau enggan perbuatan itu diketahui oleh orang yang dibantunya. Itulah antara sikap baik Siti Sarah yang benar-benar membuatkan mereka yang pernah rapat dengannya rasa terharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengah sakit tetap fikir nak menderma, Siti Sarah rajin bersedekah semasa hidup - “Sebelum naik ambulans dia sempat transfer duit”

Hal tersebut turut dialami oleh dua bekas wartawan, Utusan Karya Sdn. Bhd yang dihimpit kesusahan selepas syarikat mereka, Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar pada 2019 dan pampasan penuh yang dijanjikan tidak dibayar sehingga hari ini.

Rosli Manah, 53, bekas Pengarang URTV menceritakan dia terkejut apabila pada tahun lalu, mendapat panggilan telefon daripada syarikat artis itu bernaung, Indigital Music menyatakan seorang artis mahu menghulurkan bantuan.

AMBIL MASA SEJENAK, TONTON LUAHAN BAPA SITI SARAH

Menurut Rosli, dia tertanya-tanya siapakah artis itu kerana pihak pengurusan syarikat berkenaan enggan mendedahkan individu yang ingin menghulurkan bantuan kewangan tersebut.

"Saya tanya Nana (pihak pengurusan Indigital) siapa yang bantu? Nana kata, tak perlu tahu kerana artis berkenaan ikhlas menolong. Jumlah yang dibantunya itu, bagi saya agak banyak kerana ketika itu saya benar-benar dalam kesusahan kerana tiada pekerjaan," ujar Rosli.

Tambah Rosli lagi, rahsia itu terbongkar selepas Nana tidak sengaja menulis nama Sarah sebagai rujukan resit bank ketika pemindahan wang dilakukan.

rosli1

Kebaikan Siti Sarah akan terus dikenang Rosli Manah.

"Kemudian saya hubungi Nana dan bertanya mengenai nota kecil itu dan Nana mengaku dia tidak sengaja tertulis catatan berkenaan dan seterusnya mengaku, wang tersebut pemberian Siti Sarah dan mohon dirahsiakan.

"Arwah sangat pemurah... masa itu saya dah tak bekerja di Utusan. Saya dah tiada duit untuk bayar tunggakan kereta dan saya ada muat naik status itu di Facebook.

"Tak sangka Nana kemudian tanya nombor akaun saya, masa tu saya tak tahu fasal apa. Lepas itu saya tengok ada duit ribuan ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun saya," katanya ketika dihubungi mStar.

Tambah Rosli, sehingga kini dia tidak berpeluang berterima kasih kepada Siti Sarah kerana terpaksa berpura-pura tidak mengetahui tentang sumbangan tersebut.

Saya tengok ada duit ribuan ringgit yang disumbangkan oleh arwah dimasukkan ke dalam akaun saya.

ROSLI MANAH

BEKAS WARTAWAN HIBURAN

Ditanya sejauh manakah rapatnya hubungan dia dengan Siti Sarah, ujar Rosli, pada awal kemunculan penyanyi itu, dia banyak memberi liputan terhadap Siti Sarah melalui majalah URTV pada usia belasan tahunnya.

Malah, Rosli juga berkawan baik dengan Pegawai Perhubungan Awam Siti Sarah ketika itu, Allahyarham Ruslan Agil dan mereka kerap keluar, makan bersama-sama yang turut disertai Siti Sarah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya dimaklumkan, bantuan yang diberikan Siti Sarah itu kerana dia terhutang budi saya pernah membantunya saat susahnya dia untuk menapak dalam dunia seni. Dia tak lupa jasa saya itu. Saya sangat-sangat terharu akan budi baiknya.

"Tak semua artis menghargai wartawan yang banyak membantu mereka saat dilanda kesusahan. Terima kasih Sarah... Allah saja yang membalas budi baik Sarah," kata Rosli sebak.

johaa

Gambar kenangan Joha Ahmad ketika sihat.

Selain Rosli, Siti Sarah juga ada membuat sumbangan kepada seorang lagi bekas Pengarang Kanan, Utusan Karya Sdn. Bhd. iaitu Joha Ahmad, 55, yang kini menderita penyakit buah pinggang.

Menurut Joha, dia terkejut apabila menerima sumbangan daripada arwah kira-kira dua bulan lalu biarpun mereka sudah lama tidak berhubung.

"Saya terima sumbangan wang tunai daripada arwah Sarah dua bulan lepas... saya memang sangat terkejut sebab kami memang dah lama tidak berhubung.

"Saya cakap pada dia terima kasih sebab masih ingat saya... hubungan saya dengan arwah bukan macam wartawan dengan penyanyi, sebaliknya dah macam abang dengan adik.

"Arwah memang tahu saya sakit dan dia juga sempat berpesan pada saya agar selalu jaga diri," katanya yang menyifatkan Allahyarham seorang yang merendah diri serta sentiasa mengingati wartawan-wartawan hiburan yang telah menaikkan namanya di persada seni.

siti sarah1

Siti Sarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pusu, Gombak pada petang, Isnin.

Ujar Joha, hubungan baiknya bukan sahaja terhadap Siti Sarah malah termasuklah dengan ahli keluarga penyanyi itu.

Joha mengenali arwah apabila Siti Sarah menyertai pertandingan karaoke Bintang URTV pada 2000 yang menobatkan Siti Sarah sebagai juaranya. Ketika itu Joha ialah wartawan di majalah berkenaan.

"Daripada situlah kami mula rapat dan saya kerap memberi publisiti kepadanya sehinggalah dia dikenali. Saya bersama Siti Sarah, ibu dan bapanya pernah duduk makan bersila, sama-sama berebut nasi berlauk budu tak lama dulu. Kelakar kalau diingat semula kenangan lalu," kata Joha.

Ujarnya, ketika dilanda masalah kesihatan, dia tidak menyangka Siti Sarah masih mengingati jasanya walaupun Joha tidak mengharapkan balasan kerana apa yang dilakukannya suatu ketika dahulu adalah sebagai menjalankan tugas sebagai wartawan untuk memberi publisiti kepada artis.

siti sarah

Siti Sarah meninggalkan empat orang cahaya mata.

Siti Sarah atau nama sebenarnya, Siti Sarah Raisuddin, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu akibat serangan wabak Covid-19.

Allahyarham menjalani pembedahan mengeluarkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan pada usia kandungan lapan bulan pada 6 Ogos lalu selepas beberapa jam ditidurkan.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor kira-kira pukul 1.20 petang, Isnin.

Siti Sarah meninggalkan suami, Shuib Sepahtu atau Shahmira Muhamad dan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih dalam pemantauan di PPUKM.

Siti Sarah juga disenangi oleh ramai wartawan dan saat dia terlantar sakit di hospital, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut menganjurkan majlis bacaan Yasin dengan mengamanahkan urusan berkenaan kepada ahli Masjid Abu Bakar, Temerloh, Pahang yang turut ditujukan juga kepada rakan-rakan artis lain dan petugas media yang turut dilanda musibah.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain