suria

Aishah banyak mengaji, berzikir atasi trauma... paru-paru rosak 20 peratus akibat Covid-19 - “Pemikiran cepat hilang, kalau layankan boleh jadi macam zombi”

Aishah sudah pulang ke rumah pada Jumaat lalu selepas dimasukkan ke hospital selama 12 hari akibat Covid-19.

SELEPAS lima hari bebas daripada wabak Covid-19, penyanyi Aishah memberitahu keadaan kesihatan mentalnya masih terjejas hingga menyebabkan dia berdepan perasaan trauma.

Bagi mengatasi masalah itu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 56, berkata, dia kini menghabiskan masa dengan mengaji dan berzikir.

ARTIKEL BERKAITAN: Aishah syukur bebas Covid-19, seronok dapat balik selepas 12 hari di hospital - “Dua tahun duduk rumah, Allah nak jadikan, kena juga”

"Tak tahu la sama ada saya saja yang merasakan kesan ini. Pemikiran saya ini kalau saya tak kuat lawan dan selalu berzikir, traumanya boleh kita buat menung saja.

Aishah 1

Aishah berkongsi keadaan kesihatannya itu di Instagram.

"Otak jadi blur dan trauma. Kalau saya layankan boleh jadi macam zombi. Kadang-kadang bila bercakap pemikiran itu hilang sampaikan perkataan pun boleh lupa.

"Macam jadi kurang cerdik pula. Alhamdulillah kesan tu saya lawan dengan sentiasa mengaji dan berzikir. Kalau ikut hati sedap layan tengok dinding saja.

"Dari segi fizikal saya rasa cepat penat terutama bila naik turun tangga dan tak boleh berdiri lama, badan rasa melayang, kena cepat-cepat baring," ujarnya.

Saya diberitahu yang kerosakkan kepada paru-paru saya dalam lebih kurang 20 peratus.

AISHAH

PENYANYI

Pada Jumaat lalu, Aishah melahirkan rasa syukur apabila dibenarkan pulang ke rumah selepas 12 hari melawan Covid-19.

Aishah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 30 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19 dan mengalami simptom demam panas dan semput.

Dua hari dirawat di hospital,oksigen Aishah turun ke paras 88 peratus selepas doktor cuba membuka alat pernafasan tersebut.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Janji Manismu ini turut memberitahu mengenai keadaan dirinya selepas lima hari dibenarkan pulang ke rumah.

Selain itu, Aishah juga berkongsi pengalaman sepanjang berada di hospital sebagai pesakit Covid-19.

Aishah 2

Aishah berkongsi pengalaman sepanjang dia menjadi pesakit Covid-19 di hospital.

"Lima hari selepas keluar dari hospital, Alhamdulillah paras oksigen, gula, darah dan tekanan darah semua okey. Saya diberitahu yang kerosakkan kepada paru-paru saya dalam lebih kurang 20 peratus.

"Walaupun anda nampak macam saya aktif dan (ada yang risau mungkin saya terlalu aktif) sebenarnya saya paksa diri untuk buat macam tu.

"Saya tak tahu la sama ada pesakit lain pun lalui perkara yang sama. Masa di hospital, hanya pada hari yang keenam di hospital baru saya perasan yang saya dah ada di hospital hampir seminggu.

"Seolah-olah enam hari pertama di hospital tu walaupun saya sedar tapi entahlah rasa hari hilang. Nak sembuh ambil masa kerana virus ini bukan serang fizikal tapi juga mental," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain