suria

Ibu Ryan Deedat sekali lagi dikejarkan ke hospital, diserang sawan akibat jangkitan kuman - “Doktor minta kami bersedia segala kemungkinan”

Ryan mengharapkan kesihatan ibunya akan bertambah baik.

SELEPAS mengalami serangan strok pada Februari lalu, ibu kepada penyanyi Ryan Deedat sekali lagi dikejarkan ke hospital akibat serangan sawan baru-baru ini.

Ryan atau nama sebenarnya Sheikh Eamir Deedat, 29 berkata, ibunya, Tengku Hanasiah Tengku Zainal Mulok, 65, diserang sawan yang berpunca daripada jangkitan kuman.

ARTIKEL BERKAITAN: Ryan Deedat kena serangan panik ketika IG live, emosi terganggu ketika ditanya tentang keluarga - “Ibu strok... adik pula barah otak”

"Masa itu pukul empat pagi, saya dengar mak panggil dengan suara yang kuat, saya terus pergi tengok dan masa itu keadaan badan mak sudah bergetar-getar. Saya betul-betul panik masa itu dan terus hubungi 999.

"Doktor beritahu mak diserang sawan berpunca daripada jangkitan kuman melalui air kencing.

"Alhamdulillah, sekarang ibu ada di rumah tapi keadaannya sudah tidak seperti sebelum ini. Dia hanya terbaring dan tidak berupaya," katanya kepada mStar.



Ryan berharap orang ramai mendoakan keadaan ibunya.

Terdahulu, Ryan menerusi Instagram berkongsi keadaan ibunya yang dikejarkan ke hospital akibat serangan sawan.

Ryan berkata, disebabkan keadaan ibunya itu, dia terpaksa menundakan sebarang urusan lain kerana perlu memberi fokus sepenuhnya buat insan tersayang itu.

"Sepanjang empat hari ibu dimasukkan ke hospital, dia dipantau doktor namun tidak banyak rawatan boleh diberikan memandangkan mak juga menghidap penyakit kronik yang lain.

Saya belum bersedia untuk kehilangannya... saya baru kehilangan adik Julai lalu.

RYAN DEEDAT

PENYANYI

"Doktor ada maklumkan pada kami supaya bersedia untuk segala kemungkinan. Tapi saya masih berharap dan berdoa agar kesihatan ibu akan bertambah baik.

"Saya belum bersedia untuk kehilangannya... saya baru kehilangan adik Julai lalu, jadi saya rasa trauma dan fobia. Sekarang pun tak boleh nak bergerak jauh dari rumah sebab perlu uruskan mak," ujarnya.

Pada 25 Julai lalu, Ryan berkongsi berita duka pemergian adik bongsunya, Sharifah Nur Intan Sheifeeka yang disahkan meninggal dunia akibat barah otak.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ujian calitan ke atas jenazah mendapati negatif Covid-19.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain