suria

Sampai masa Dafi ubat rindu peminat, sedia lancar lagu ‘simple’ sebar aura positif - “Sudah rakam, ada dalam simpanan”

Dafi sudah simpan hasrat untuk mengeluarkan single terbaharu.

SETELAH lima tahun tidak muncul dengan sebarang lagu baharu, penyanyi Dafi mengakui dia menyimpan hasrat untuk melancarkan single dalam masa terdekat.

Menurut Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, dia mempunyai lagu yang sudah dirakam namun masih menunggu waktu yang sesuai untuk dilancarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dafi jadi perhatian, yakin ‘papa’ Ismail Sabri galas tanggungjawab dengan baik - “Dia pernah hidup susah, tak mahu orang lain susah”

Akui pada mulanya bimbang untuk melancarkan lagu ketika pandemik, namun penyanyi berusia 33 tahun ini berharap single terbaharunya itu nanti akan memberi semangat kepada pendengar.

Dafi 2

Dafi berharap single terbaharunya akan memberi semangat kepada pendengar.

"Sebenarnya saya dah ada single yang sudah dirakam dan berada dalam simpanan namun menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

"Secara peribadi, pada mulanya saya memang rasa macam kurang sesuai untuk lancarkan lagu ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Namun jika difikirkan, tidak salah untuk tampil dengan lagu yang menyebarkan semangat dan aura positif sebagai pemangkin semangat.

"Lagu simple saja tapi mempunyai mesej tersendiri, tajuknya nanti saya akan kongsikan," kata Dafi kepada mStar.

Jika difikirkan, tidak salah untuk tampil dengan lagu yang menyebarkan semangat.

DAFI

PENYANYI

Kali terakhir anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu melancarkan lagu pada 2016 yang berjudul Girl.

Dalam pada itu, Dafi turut memberitahu kerjaya seninya kini diuruskan oleh syarikat pengurusan Rocketfuel Talent berkuat kuasa 1 Oktober.

Pernah memiliki syarikat pengurusan artis miliknya sendiri, Dafi mengakui bukan mudah untuk menguruskan kerjaya seseorang selebriti.

"Keputusan yang diambil bukanlah sesuatu yang dibuat dalam sehari dua, kerana saya mengambil masa untuk membaca kontrak dan sebagainya.

Dafi 1

Kerjaya seni Dafi kini diuruskan oleh syarikat pengurusan.

"Saya sendiri pernah memiliki syarikat pengurusan artis, saya tahu bukan mudah sebenarnya untuk merencana perjalanan kerjaya seseorang individu itu.

"Jadi saya memilih untuk bertukar angin. Biarlah kali ini saya menyerahkan kerjaya kepada pihak pengurusan untuk menentukan hala tuju.

"Mereka bakal menguruskan daripada aspek kerjaya nyanyian, lakonan dan sebagainya. Cuma saya kurang berkeyakinan untuk menjadi hos, mungkin kerana gemuruh,” ujar Dafi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain