suria

Eizlan Yusof sedar ada penggiat seni ‘berbunyi’ isu jawatan Perunding Kreatif, seru contohi industri kreatif Korea tembus pasaran dunia

Eizlan yakin ARCA mampu bawa produk seni dan budaya Malaysia ke persada antarabangsa.

MENGAMBIL contoh perkembangan industri kreatif Korea Selatan, penerbit dan pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof yakin Jawatankuasa Seni dan Budaya (ARCA) yang bakal dibentuk di bawah Kementerian Luar mampu memperkasakan produk seni tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menurut Eizlan, 50, yang baharu sahaja dilantik sebagai Perunding Kreatif Kementerian Luar, dia berharap penggiat seni dapat memberi sokongan dalam usaha memperkasakan lagi industri ke peringkat lebih tinggi, sekaligus membawa nama Malaysia di mata dunia.

"Apa yang dilakukan kementerian ini memberi banyak manfaat kepada industri seni dan kebudayaan negara. Ianya patut diraikan sebab julung kali kita dapat ruang dan peluang mengorak langkah ke peringkat antarabangsa, sebelum ini tak ada. Yang untung dan dapat manfaat pastinya penggiat seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham dilantik Setiausaha Kebudayaan, Eizlan Yusof pula jadi Perunding Kreatif Kementerian Luar

ARTIKEL BERKAITAN: Eizlan Yusof dilantik sebagai Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas - “Ini satu amanat untuk pasukan kami bekerja lebih keras lagi”

"Kita ambil contoh seperti Korea, mereka dah menjengah dunia dengan pelbagai karya menarik, ini satu langkah baik yang dimulakan oleh kementerian untuk membantu menaikkan industri kita seperti di Korea, kerajaan mereka menyokong bakat yang mereka ada.

"Apabila kita berjaya mengangkat seni dan budaya kita, secara tak langsung orang luar akan berminat untuk ke negara kita, ia akan memberi impak baik kepada Kementerian Pelancongan. Malah Kementerian Komunikasi juga akan menghasilkan lebih banyak konten menarik untuk tunjukkan keindahan negara serta mengangkat lagi seni budaya kita," katanya kepada mStar.

eizlan yusof 2

Saifuddin (tengah) menyerahkan surat lantikan kepada Eizlan (kanan) dan Ahmad Idham.

Selain Eizlan, bekas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut dilantik memikul tanggungjawab di Kementerian Luar sebagai Setiausaha Kebudayaan.

Surat pelantikan mereka diserahkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pada Isnin.

Sudah sampai masanya filem, seni dan budaya kita ke peringkat antarabangsa!

EIZLAN YUSOF

PELAKON/ PENGARAH

Dalam pada itu Eizlan berkata penubuhan jawatankuasa itu nanti turut akan melibatkan golongan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

"Alhamdulillah ini satu amanah yang besar untuk kemajuan industri. Saya akan membantu Ahmad Idham dan bekerjasama dalam satu pasukan membawa industri ke peringkat lebih tinggi... kita mahu mengetengahkan budaya negara kita ke luar dan akan bergerak lebih agresif selepas ini.

eizlan 2

Eizlan sedia kerjasama dengan Ahmad Idham dalam usaha mengangkat seni dan budaya Malaysia ke peringkat global.

"Sudah sampai masanya filem, seni dan budaya kita ke peringkat antarabangsa. Sebelum ini ada yang bergerak sendiri, sepatutnya mereka mendapat sokongan daripada kementerian, sebab itulah kerajaan bersetuju mewujudkan jawatankuasa khas ini.

"InsyaAllah ARCA akan ditubuh dan akan ada pelantikan ahli jawatankuasa dalam kalangan pakar-pakar bidang ini, nama mereka akan diumumkan oleh menteri tidak lama lagi," katanya.

eizlan 3

Eizlan minta semua penggiat seni beri sokongan atas usaha yang dilakukan kerajaan ini.

Menyedari akan ada pihak yang kurang senang dengan lantikan berkenaan, Eizlan berkata penubuhan jawatankuasa itu akan memberi banyak kelebihan dan kebaikan kepada industri terutamanya penggiat seni tanah air.

"Memang amanah ini berat tapi saya seronok menerima cabaran yang diberikan, jadi saya perlukan sokongan dan pandangan semua pihak... lebih banyak idea dan suara itu lebih baik.

"Jawantankuasa ini merangkumi semua industri seni dan budaya... selepas ini mereka yang bawa nama Malaysia ke luar negara akan dapat sokongan penuh kerajaan, barulah lebih formal dan terancang, secara tak langsung boleh beri impak positif kepada negara bergerak dalam satu pasukan.

"Itulah yang kita nak tunjukkan perpaduan dalam industri dan kerajaan tak melupakan industri kita ini. InsyaAllah selepas ini kita akan membantu orang-orang kita yang akan membawa bendera Malaysia ke peringkat antarabangsa, itulah yang diutarakan oleh menteri," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain