suria

Sebak! Shuib kongsi perbualan terakhir arwah Siti Sarah sebelum ditidurkan - “You jangan nangis... jangan sedih. Ampunkan dosa-dosa I”

Shuib kongsi rakaman perbualan terakhir bersama Siti Sarah.

"YOU jangan nangis... daddy jangan sedih. Ampunkan dosa-dosa I ya. Love you!"

Itu kata-kata terakhir yang diluahkan oleh penyanyi Allahyarham Siti Sarah sebelum ditidurkan kerana jangkitan Covid-19 pada 6 Ogos lalu.

Rakaman perbualan terakhir Siti Sarah bersama suaminya pelawak Shuib diselitkan dalam video muzik (MV) lagu Tinggalkan Diriku yang dimuat naik di laman YouTube pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Siti Sarah ditidurkan, jalani pembedahan keluarkan bayi 2 petang ini

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Shuib masih tunggu Sarah hadir dalam mimpi, tak peduli disindir belum ‘move on’

Menurut Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad, 37, lagu dalam MV tersebut merupakan rakaman nyanyian semasa Siti Sarah menjalani latihan sebuah showcase di MATIC, Kuala Lumpur kira-kira tiga tahun lalu.

"Enam hari selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah, saya mendengar rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dirakam ketika sesi latihan untuk showcase Siti Sarah pada tahun 2018.

"Dalam MV ini saya selitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk ditidurkan.

shuib lagu 1

Shuib hasilkan MV Tinggalkan Diriku dalam bentuk animasi.

"Ini adalah momen paling sukar dalam hidup saya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak.

"Perbualan tersebut adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak," ujarnya.

Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti.

SHUIB

PELAWAK

Dalam rakaman perbualan terakhir yang dikongsi itu, Shuib meminta Siti Sarah untuk kuatkan diri berdepan ujian penyakit tersebut.

"Ibu... ini satu step ni je you kena lepaskan... you minta dengan Allah kuatkan semangat you, InsyaAllah lepas ni kita tengok baby kita.

"Ibu... sumpah I sayang you sangat," kata Shuib dalam rakaman tersebut.

shuib 2

Siti Sarah ditidurkan kerana kekurangan oksigen pada 6 Ogos lalu.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin, 9 Ogos lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat Covid 19.

Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Ayash, Allahyarham meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

TONTON PERBUALAN TERAKHIR ARWAH DALAM MV LAGU TINGGALKAN DIRIKU!

Berkongsi mengenai penghasilan MV tersebut, Shuib berkata penyampaian Siti Sarah sungguh berbeza dalam lagu berkenaan kerana arwah seolah-olah sudah mengetahui ajalnya bakal tiba.

"Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu itu. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti.

"Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang," katanya.

Tinggalkan Diriku merupakan ciptaan Aidit Alfian. Lagu ini dirakam pada tahun 2002 dan dilancarkan pada tahun 2003 melalui album Mimpi Pun Sama.

Lagu ini sudah berada di semua platform digital dan MV pula akan disiarkan melalui YouTube Shuib Channel mulai Jumaat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain