suria

Wartawan hiburan kongsi pengalaman musibah banjir, nasib baik jiran artis datang tolong... Lan Solo sanggup pinjamkan kereta

Lan Solo meminjamkan keretanya kepada Che Meen untuk digunakan sementara.

AKIBAT banjir teruk yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur bermula Sabtu lalu, seorang wartawan hiburan juga terkesan dengan kejadian itu apabila musibah berkenaan turut melanda kediamannya yang terletak di Puchong, Selangor.

Detik malang itu dikongsi oleh Meen Tahrin, bekas pengarang Media Hiburan yang kini merupakan Pengarang Eksekutif meja gaya hidup, Sinar Harian.

Meen Tahrin atau lebih mesra disapa sebagai Che Meen berkata, rumahnya yang terletak di Kampung Sri Aman, Puchong mula dinaiki air sekitar pukul 4 pagi, Ahad.

Malah, rumah bapa mentua yang terletak berdekatan mengalami nasib yang lebih teruk apabila dinaiki air sehingga ke paras bumbung.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan panik! Ini perkara yang harus dan tak patut dilakukan untuk selamatkan kereta sangkut dalam banjir

"Rumah bapa mentua saya agak teruk juga ditenggelami banjir. Rumah kami berdekatan tapi rumah saya di kawasan yang tinggi sedikit.

"Bila air dah mula naik di kawasan rumah bapa mentua, saya jadikan rumah saya sebagai tempat untuk jiran-jiran tumpang letak barang.

"Sekitar pukul 4 pagi Ahad, saya dikejutkan dengan kejadian air mula masuk di pintu rumah. Bayangkan rumah saya yang berbukit pun air dah masuk sampai paras buku lali.

"Apatah lagi rumah bapa mentua saya yang air naik sudah hampir paras bumbung," kata Che Meen ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Sebelum ini, Che Meen turut berkongsi video di laman sosial memperlihatkan keadaan kawasan perumahannya yang sudah ditenggelami banjir pada Ahad.

Bila air dah mula naik, saya sekeluarga terpaksa keluar untuk mencari tempat berteduh lain.

CHE MEEN

PENGARANG EKSKLUSIF SINAR HARIAN

Dalam pada itu Che Meen berkata dia sekeluarga terpaksa berpindah keluar selepas air mula memasuki rumah mereka pada Ahad.

Biarpun lambat menerima bantuan dari pihak berwajib, namun Che Meen tetap bersyukur atas pertolongan daripada rakan media dan artis seperti Fouziah Gous, Mila Jirin dan Lan Solo.

"Bila air dah mula naik, saya sekeluarga terpaksa keluar untuk mencari tempat berteduh lain. Pada awalnya, keluarga mentua pun berpindah duduk masjid berdekatan.

"Tapi masjid tersebut juga sudah mula naik air. Mereka yang berada dalam masjid terpaksa dibawa keluar dan dipindahkan ke lokasi lain sekitar Puchong.

Che Meen 1

Che Meen bersama dua orang anaknya.

"Disebabkan kawasan perumahaan saya itu yang paling hujung, jadi kami lambat dapat bantuan. Tapi saya terharu ramai rakan media dan artis yang sudi membantu.

"Antaranya Lan Solo yang tinggal berdekatan rumah saya. Rumah dia pun teruk juga dinaiki air. Dia beri pinjam salah satu keretanya kepada saya untuk saya guna sementara," ujarnya.

Sementara itu, Che Meen memberitahu dia masih tidak mengetahui keadaan rumahnya selepas ditinggalkan pada pagi Ahad.

"Buat masa sekarang saya tak tahu lagi barang apa yang rosak dan boleh diselamatkan. Setakat saya tinggalkan rumah pada pukul 7 pagi, air dah paras buku lali.

"Tak tahu lagi keadaan rumah saya sekarang macam mana. Walaupun air dah mula surut tapi masih tidak dapat nak masuk ke kawasan perumahan saya itu," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain