suria

Promosikan aksi berahi bertentangan dengan adab... Zul Ariffin, kamu punya kerja rakan-rakan artis kena tempias! Ini nasihat mereka

Tindakan Zul Ariffin muat naik klip ghairah malukan rakan artis.

RAMAI pihak melahirkan rasa marah, kurang senang dan tidak puas hati.

Gara-gara tindakan tidak bermoral aktor Zul Ariffin yang berkongsi adegan berbaur seks drama Perempuan Itu, penggiat seni lain turut terkena tempias ‘telur busuk’ itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zul Ariffin hadir ke SKMM, dua jam beri keterangan isu klip aksi ghairah

Malah, Zul sendiri menerima padah apabila dia telah dipanggil oleh unit siasatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk diambil keterangan.

Itu semua kerja bodoh, perkara yang seharusnya tidak dibuat oleh pelakon berpengalaman dan pemenang banyak anugerah termasuklah Pelakon Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31).

Kalau ia datang daripada artis baharu setahun jagung yang kemaruk publisiti murahan, ia mungkin boleh dimaafkan lagi.

Penyanyi dan pelakon Datuk Awie dalam reaksinya mengenai hal itu cukup menarik. Kata Awie, Zul boleh menolak perkara buruk itu tetapi dia memilih ‘sedap’ yang akhirnya menconteng arang ke muka industri seni berkonsepkan Islamik.

Pengarah drama Along Kamaludin juga berasa jelik dengan aksi itu.

fauziah nawi

Fauziah Nawi kesal nama penggiat seni tercemar.

Gara-gara Zul, penat kita jaga nama baik – Fauziah Nawi

Berkongsi keresahan serupa, pelakon veteran Fauziah Nawi mengakui terkena tempias gara-gara tindakan Zul.

Menurut Fauziah, 68, disebabkan kejadian itu masyarakat mula memandang serong dan menyalahkan artis dalam segala hal.

"Saya memang rasa sedih apabila perkara sebegini berlaku.

"Penat kita menjaga nama baik, tetapi dek kerana perbuatan tersebut nama anak seni lain turut terkait.

"Tak adil sebab orang akan pandang negatif terhadap industri kita hanya disebabkan kejadian seperti itu," katanya ketika dihubungi mStar.

Langkah itu mungkin sebuah promosi, pelakon filem Sayang Salmah ini berkata jika benar, dia tidak bersetuju dengan cara produksi berkenaan menggunakan pendekatan sedemikian.

Ujarnya, promosi keterlaluan dengan paparan aksi berahi bertentangan dengan etika dan adab budaya sebagai seorang Islam.

"Bad promotion is still a promotion. Mungkin produksi sengaja mahu memperkenalkan nama pengarah drama tersebut.

"Tetapi sebagai warganegara Malaysia, kita sepatutnya faham dan tahu etika dalam bekerja. Bukan hanya memikirkan soal promosi untuk naikkan jumlah tontonan.

"Tak perlulah saya nak beri nasihat walaupun sebagai artis senior kerana mereka sudah dewasa. Sepatutnya tahu membuat pilihan sendiri," ujarnya lagi.

eizlan

Eizlan Yusof harap Zul tidak ulangi kesilapan.

Jangan pandang rendah isu moral – Eizlan Yusof

Dalam pada itu, pelakon dan produser Datuk Seri Eizlan Yusoff berkata, sebagai pelakon berpengalaman seperti Zul, isu moral tidak seharusnya dipandang rendah.

Justeru katanya, tindakan Zul berkongsi babak 'director cut' drama arahan Ain Sharif itu merupakan satu kesilapan besar.

"Zul memiliki nama besar dalam industri. Jadi cara promosi begini merupakan satu kesilapan buat dia.

"Mereka sudah tahu babak tersebut tak boleh ditayangkan di televisyen.

"Namun dari sudut moral, kita harus faham dan hormat sensitiviti masyarakat

vanidah

Vanidah minta tidak letak kesalahan kepada Zul sahaja.

Jangan salahkan Zul semata-mata – Vanidah Imran

Sementara itu Pelakon Wanita Terbaik FFM20, Vanidah Imran berpendapat kesalahan tidak sepatutnya diletakkan kepada Zul semata-mata.

Menurutnya, ramai pihak yang terlibat dalam isu berkenaan kerana klip tersebut tidak boleh disunting sendiri oleh pelakon.

"Sesebuah projek drama atau filem hanya akan berlaku dengan kelulusan pihak-pihak yang memberi kelulusan.

"Maka pelakon tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Seorang pelakon itu tidak menyimpan raw klip untuk disunting sendiri dan dikongsi di sosial media.

"Jika pihak berkuasa hendak ambil tindakan, perlu berjumpa dengan produksi atau stesen televisyen yang meluluskan," jelasnya.

Video aksi panas lakonan Zul bersama pelakon Siti Hariesa yang dimuatnaik pada 18 Mac lalu menerima kecaman teruk peminat dan turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Susulan itu Zul hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memberi keterangan pada Selasa selepas dipanggil pihak berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Sebelum itu Zul juga telah memohon maaf dan berjanji lebih berhati-hati berkongsi sebarang bentuk kandungan di media sosial.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain