suria

Kurang undi punca Aisha Retno dapat tempat ketiga, peminat Elica Paujin lebih laju buat kerja

Elica (kiri) mendahului Aisha berdasarkan undian peminat.

GARA-GARA kurang menerima undian peminat, impian penyanyi Aisha Retno untuk bergelar juara Big Stage 2022 lenyap malah terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga.

Namun Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Syed Sipulijam, 22, berkata dia enggan menyalahkan peminat yang tidak mengundi kerana percaya soal rezeki yang tertulis untuknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Elica Paujin juara Big Stage 2022, padam impian Daniel Chuer dan Aisha Retno... Bawa pulang RM100,000

ARTIKEL BERKAITAN: Pecah rekod markah tertinggi! Aisha Retno sebenarnya tidak sihat, beberapa kali muntah sebelum persembahan

“Walaupun saya mendapat tempat ketiga, namun markah juri tidaklah begitu teruk.

“Cuma daripada sudut undian peminat tidak membantu untuk saya dapat markah keseluruhan yang lebih tinggi.

“Tidak perlulah saya salahkan sesiapa kerana semua ini adalah rezeki dan peminat saya sudah menjalankan tugas mereka untuk mengundi sepanjang berada di Big Stage,” katanya kepada mStar.

aisha retno 2

Aisha membuat persembahan duet bersama Jaclyn Victor.

Menerusi konsert akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad, Aisha memperoleh markah 66.57 peratus daripada dan undian secara atas talian hanya sebanyak 4.47 peratus.

Sementara itu Elica Paujin yang dinobatkan sebagai juara mendapat markah 66.22 peratus (juri) dan 12.71 (undian).

Manakala Daniel Chuer yang menjadi naib juara mendapat 66.64 (juri) dan 5.98 (undian).

Sedar undian peminat tidak menentu buatnya sejak awal pertandingan, Aisha akan sentiasa memastikan dia memberi persembahan terbaik agar tidak berada di kedudukan terbawah berdasarkan pemerkahan juri.

Saya gembira dengan keputusan akhir kerana tewas kepada peserta yang lebih hebat

AISHA RETNO

PENYANYI

Aisha juga akan merasa kecewa jika dia gagal menambat hati juri seperti persembahan di malam separuh akhir.

“Mungkin kelompok peminat saya belum cukup kuat berbanding mereka. Jadi markah undian yang diterima tidak menentu pada setiap minggu.

“Saya bersyukur masih ada peminat dan hanya akan kecewa jika mendapat markah rendah daripada juri seperti mana persembahan saya ketika malam separuh akhir.

“Sebab itu setiap minggu saya pastikan membuat persemabahn terbaik agar tidak mendapat markah rendah daripada barisan juri,” jelasnya.

Aisha menyanyikan lagu Fallin yang dipopularkan oleh Alicia Keys dan duet bersama Jaclyn Victor menerusi lagu Semua Jadi Satu (3Diva) untuk segmen kedua pada konsert akhir.

Juri tetap Big Stage 2022 terdiri daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ajai.

Penyanyi Aliff Aziz pula menjadi juri juara manakala Aina Abdul dilantik sebagai juri jemputan.

Markah turut diberikan oleh Elly Mazlien sebagai juri pedas dan Datuk Seri Vida yang merupakan presiden netizen.

aisha retno 3

Aisha berpuas hati mendapat tempat ketiga.

Bercakap tentang keputusan yang diterima, Aisha memberitahu dia tidak pernah meletakkan sasaran tinggi untuk bergelar juara kerana tahu konsep pemarkahan adalah mengikut persembahan pada setiap minggu.

Dalam masa sama, Aisha yang baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Pencarian Ku berharap perjalanan seninya selepas ini akan terus mendapat sokongan peminat muzik tanah air.

“Saya gembira dengan keputusan akhir kerana tewas kepada peserta yang lebih hebat. Kalau saya jadi juri pun pening kepala nak pilih pemenang.

“Sejak minggu pertama lagi saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana tahu markah diberi mengikut persembahan pada setiap minggu.

“Apa yang saya harapkan selepas menyertai Big Stage adalah perjalanan seni lebih baik dan terus mendapat sokongan peminat,” ujarnya.

Sebagai pemenang di tempat ketiga, Aisha membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain