suria

Anak-anak tunggu Yasin balik, tahu apa yang terjadi… Peguam minta elak komen tak wajar

Abang Yasin iaitu Zain berharap urusan adiknya dipermudahkan.

PENAHANAN Yasin Sulaiman akibat menanam pokok ganja di kediamannya merupakan episod hitam buat keluarga penyanyi dan komposer itu.

Abangnya, Zain Sulaiman, 50, yang ditemui di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya memberitahu anak-anak penyanyi itu tabah dengan apa yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Didakwa edar dadah jenis ganja, Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Yasin Sulaiman kirim salam kepada Syed Saddiq, bakal didakwa tanam ganja dalam rumah

Dia juga berharap urusan penyanyi lagu Mimpi Laila itu dipermudahkan.

“Saya mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segalanya.

“Anak-anak dia menaruh harapan yang tinggi dan sangat tabah. Mereka semua menunggu Yasin. Mereka tahu apa yang berlaku pada dia,” katanya kepada mStar.

Yasin pernah mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Sameer, 12, dan Malaika, 7.

Selain Zain, anggota kumpulan Brother iaitu Akbar turut dilihat hadir memberi sokongan moral kepada Yasin.

peguam yasin

Abang Yasin, Zain (kanan) dan peguam Yusmadi Yusoff.

Dalam pada itu, peguam pembela mewakili Yasin, Yusmadi Yusoff, berkata, sokongan keluarga dan orang terdekat adalah sangat baik buat penyanyi itu ketika ini.

Yusmadi juga meminta pihak media tidak menggunakan ayat ‘ladang mini’ bagi merujuk kes tersebut.

Dia juga meminta orang ramai untuk tidak menulis komen tidak wajar yang mengganggu urusan perbicaraan tersebut.

Satu lagi yang harus direkodkan, amat tak wajar dia dilaporkan memiliki ladang mini. Itu tidak betul.

YUSMADI YUSOFF

PEGUAM

“Kita doakan sama-sama untuk urusan dia. Malah, hari ini ada juga kawan-kawannya yang datang. Bagi saya, dia tiada rekod negatif dan dia adalah seorang yang banyak memberi inspirasi. Rasanya ia (pandangan itu) perlu dikekalkan begitu.

“Satu lagi yang harus direkodkan, amat tak wajar dia dilaporkan memiliki ladang mini. Itu tidak betul.

"Kemudian ada yang kata kononnya ada sejumlah wang dan sebagainya, saya dah semak, tiada.

“Tapi tentang hal itu tidak boleh komen lanjut kerana kes sedang berjalan. Cuma agar komen-komen yang tidak wajar harus dielakkan,” katanya.

Yasin tiba di komplaks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi Khamis.

Yasin berdepan hukuman mati.

Terdahulu, Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondomonium pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja dengan berat dianggarkan 214 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain