suria

Amar Baharin diduga lagi, selepas Amyra Rosli sembuh daripada penyakit misteri, anak pula masuk hospital akibat demam panas

Anak perempuan Amyra dan Amar terpaksa ditahan wad selepas mengalami demam panas.

PASANGAN pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli diduga sekali lagi apabila anak kedua mereka iaitu Ayra Aryssa mengalami demam panas dan dikejarkan ke sebuah pusat perubatan kira-kira pukul 1 pagi, Rabu.

Baru sahaja sembuh dari Covid-19 pada Januari lalu, Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin bimbang apabila suhu badan Ayra yang baru berusia dua tahun mencecah 41 darjah celsius.

ARTIKEL BERKAITAN: Amar Baharin bimbang kaki Amyra Rosli bengkak teruk hingga susah berjalan... Kini direhatkan dari penggambaran drama

"Arysasa mengalami demam panas... suhu badannya tinggi sehingga mencecah 41 celsius. Melihat keadaanya itu, kami terus bawa dia ke hospital Prince Court, KL pada sekitar 1 pagi tadi.

Amar 2

Amar kongsi keadaan anaknya di Instagram.

"Sehingga kini, Aryssa masih ditahan wad dan pagi tadi baru jumpa doktor. Keadaan dia masih dalam pemantauan dan kami tak buat ujian calitan sebab dia baru baik dari Covid-19.

"Tiba-tiba demam panas dan tak tahu punca dia apa. Itu yang membuatkan kami risau sangat," kata Amar ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Terdahulu, pasangan selebriti itu memuat naik foto keadaan anak mereka yang terlantar sakit di sebuah hospital di laman Instagram masing-masing pada Rabu.

Rata-rata netizen serta rakan selebriti mendoakan agar anak perempuan pasangan itu diberikan kesembuhan dengan cepat.

Tiba-tiba demam panas dan tak tahu punca dia apa

AMAR BAHARIN

PELAKON

Sementara itu, Amar memberitahu anaknya kini dijaga oleh adik iparnya kerana dia dan isteri terpaksa menjalani penggambaran yang sudah dijadualkan.

"Saya dan Amyra tak dapat nak teman dia di hospital sebab kami berdua ada penggambaran, kebetulan jadual padat pula. Sekarang ini, mak saudara Aryssa yang teman di hospital," ujarnya.

Sebelum ini, Amyra mengalami sakit sendi dan lebam di beberapa bahagian tubuhnya selain batuk tidak henti menyebabkan dia terpaksa berehat daripada menjalani penggambaran drama Jangan Menangis Cinta.

Menerusi temu bual bersama mStar pada 31 Mac lalu, Amar memaklumkan keadaan itu tidak pernah berlaku dan isterinya juga telah menjalani pemeriksaan namun keputusan ujian darah dalam keadaan baik.

Amar 1

Amar dan isteri serta anak-anak mereka.

Berkongsi keadaan kesihatan Amyra terkini, Amar melahirkan rasa syukur apabila isterinya sudah kembali sihat selepas menjalani rawatan di hospital dan perubatan Islam.

"Alhamdulillah, Amyra pun dah mula bekerja dan menjalani penggambaran sejak kelmarin. Keadaan dia pun dah sihat macam biasa. Syukur tak berpanjangan sakit dia itu.

"Memang kami ada ikhtiar dua cara... hospital dan perubatan Islam. Alhamdulillah, dia pun dah sihat dan dapat bekerja seperti biasa," katanya.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumahtangga pada November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 4 dan Ayra Aryssa yang kini berusia dua tahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain