PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sejak awal 2020 telah banyak meninggalkan kesan seperti kehilangan pekerjaan, ramai yang berdepan cabaran hidup susah kerana kesempitan wang dan juga kematian keluarga akibat virus tersebut. Apa yang telah dilalui begitu meninggalkan kesan buat kita semua dalam mengharungi fasa endemik sekarang ini dan secara perlahan bergerak ke arah proses pemulihan. Mengambil elemen-elemen pasca pandemik, pengarah Razaisyam Rashid tampil dengan sebuah karya iklan filem pendek Raya Astro 2022 berjudul 7 Hari Di Bawah Matahari. ARTIKEL BERKAITAN: Shopping sambil cuci mata dan berhibur! The LINC KL meriah habis sepanjang Ramadan, Syawal Kata Razaisyam, filem ini mengangkat mesej perjuangan hidup yang terpaksa diteruskan selepas berhadapan dengan waktu sukar sehingga terpaksa menjual aset peribadi untuk bertahan ketika Covid-19 melanda. "Dalam filem ini saya mahu sampaikan mesej bahawa kadang-kala kita terlalu mengejar sesuatu yang bersifat kebendaan sehingga tidak bersikap jujur dengan diri sendiri. "Karakter yang ditampilkan membuktikan sebenarnya kita boleh mengharungi sesuatu dugaan jika berusaha sendiri. Emil belajar erti kehidupan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perlis. "Selain itu ia menceritakan tentang perjalanan balik kampung pasca pandemik dan ia memberi pengisian supaya kita boleh menilai kembali diri sendiri", katanya kepada mStar. Filem ini menampilkan pelakon muda Nadhir Nasar memegang watak Emil yang mengayuh basikal dari Kuala Lumpur ke Perlis untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sepanjang perjalanan tersebut, Emil ditemani oleh seekor kucing bernama Borhan dan dia bertemu dengan pelbagai orang yang banyak memberi pengajaran kepadanya tentang erti kehidupan. Razaisyam (kiri) membawa elemen pasca pandemik dalam 7 Hari Di Bawah Matahari. Bagi menyuntik babak yang boleh menyentuh hati penonton, Razaisyam turut berkongsi pengalaman peribadi sendiri. Emil akan belajar sesuatu perkara yang boleh memberi manfaat kepadanya sepanjang perjalanan tersebut. Dia akan lebih memahami erti kehidupan dari satu babak ke babak lain dalam filem ini. Karakter yang ditampilkan membuktikan sebenarnya kita boleh mengharungi sesuatu dugaan jika berusaha sendiri RAZAISYAM RASHID PENGARAH "Sebagai pengarah saya juga berkongsi pengalaman bagaimana terlalu cuba berusaha keras dalam kerjaya hanya untuk membuktikan kepada orang lain tentang kejayaan dan tidak jujur dengan diri sendiri. "Selain itu watak yang dimainkan oleh Sherie Merlis menggambarkan karakter ibu saya di mana dia telah banyak membantu membentuk diri saya sekarang ini," jelasnya. Ia akan mula ditayangkan pada malam sambutan Raya Aidilfitri di aplikasi Astro Go sebelum disiarkan di semua saluran Astro bermula hari raya ketiga. Filem ini turut menampilkan Pekin Ibrahim. Bercakap tentang cabaran sepanjang penggambaran, kata Razaisyam pemilihan lokasi semuanya di kawasan terbuka dan dia perlu mengejar masa supaya memberi kesan menarik dalam kronologi perjalanan. Filem ini turut memaparkan lokasi-lokasi menarik yang menjadi tempat persinggahan akvititi berbasikal seperti Taiping, Butterworth dan Lumut. "Kebanyakan lokasi adalah outdoor dan kita perlu berhadapan dengan cabaran alam seperti cuaca panas dan hujan. Namun ada magis yang berlaku dimana ia memberi kesan mode kepada babak lakonan. "Selain itu bukan mudah untuk tampilkan watak seekor kucing kerana ia tidak faham apa yang sedang berlaku," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI