suria

Bakal berbesan dengan Maria Farida, Nourul beri peluang anak bercinta dulu... Belum ada perbincangan keluarga

Anak Nourul dan Maria baru bercinta sejak empat bulan lalu.

PERKONGSIAN foto anak perempuan Nourul Wahab iaitu Ayu Nazirah dengan anak lelaki kepada pelakon Datin Seri Maria Farida iaitu Mizan Ashley di laman Instagram penyanyi itu menarik perhatian netizen.

Didakwa bakal berbesan dengan Maria, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab menjelaskan hubungan cinta anak mereka baru saja terjalin sejak empat bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupa-rupanya ada netizen tak senang tengok Nourul Wahab, ‘gembira’ dah pindah ke Bali - “Pergi pun... mohon tak payah datang Malaysia lagi sis”

Terkejut dengan dakwaan tersebut, penyanyi berusia 44 tahun itu memohon agar netizen memberi ruang dan masa untuk anak mereka mengenali satu sama lain terlebih dahulu.

Nourul Depp

Nourul kongsi foto Ayu dan Mizan.

"Ayu dan Mizan baru kenal empat bulan. Biarlah mereka kenal-kenal dahulu. Apa yang Allah takdirkan, InsyaAllah kami terima. Doakan yang terbaik saja.

"Tak boleh nak komen lebih-lebih sebab baru lagi dan kami terkejut juga yang kata bakal berbesan. Belum ada apa apa perbincangan pun. InsyaAllah.

"Bagi mereka masa... mereka yang bercinta, kami mak-mak sokong saja. Asalkan anak-anak gembira dan bahagia," katanya kepada mStar.

Foto Ayu bersama Mizan yang dimuat naik di akaun Instagram Nourul mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya teruja keluarga penyanyi itu dengan Maria bakal bersatu.

Bagi mereka masa... mereka yang bercinta, kami mak-mak, sokong saja.

NOURUL DEPP

PENYANYI

Untuk rekod, Ayu merupakan anak sulung Nourul dengan bekas suaminya yang juga seorang komposer terkenal iaitu Ajai.

Dalam pada itu, Nourul yang kini menetap di Bali, Indonesia memberitahu hubungan dia dengan Maria semakin rapat biarpun pernah terpisah disebabkan kekangan kerja serta urusan peribadi.

"Saya hormati kak Maria sebagai senior. Memang kenal tapi dah lama terpisah kerana urusan kerja dan peribadi masing-masing. Cuma sekarang makin rapat.

"Sebagai kenalan artis saya memang meminati dia sebagai wanita yang kuat dan cantik. Pertemuan antara keluarga tu kami jumpa sebab anak-anak bercinta.

Nourul Depp

Nourul bersama keluarganya.

"Kami sesama artis memang kenal. Jadi kami jumpa la. Kak maria pun ada ke Bali untuk holiday. Itu yang merapatkan lagi hubungan kami," ujarnya.

Sementara itu, Nourul turut menasihati anak perempuannya agar mengenali lebih dekat Mizan sebelum membawa hubungan mereka ke arah yang lebih serius.

"Kenal sebaiknya dulu. Berpasangan ni nak kena adjust macam-macam dari segi karakter dan emosi. Mula jatuh cinta semua indah-indah belaka.

"Manusia ada banyak kekurangan. Mesti kena kenal satu sama lain dan ada pemahaman serta penghormatan. Lepas tu boleh berpanjangan.

"Cinta saja tak cukup. Harus seimbang karakter, peribadi, pekerjaan (kewangan) mental dan fizikal," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain